Thursday, March 9, 2017

Siapa Kata PAS, Abdul Hadi Kuat, Berpengaruh di Terengganu?


Parti AMANAH menolak andaian kononnya PAS hebat di Terengganu kerana faktor tokoh melalui kehadiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu di kerusi Marang, undi popular di kawasan itu tidak besar mana pun.

Biasanya apabila  tokoh utama dalam parti politik seperti Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah dan  Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, parti yang diwakili  boleh dapat lebih besar undi majoriti.

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Hasbie Muda, berkata perkara sebaliknya berlaku apabila tokoh di Marang (Abdul Hadi) tak sampai majoritI 10,00 ribu pun.

“Paling banyak pada 1999. Sekarang hanya lebih 5,000 undi majoriti," tegasnya sambil menyifatkan kerusi itu memang sedia dimenangi PAS sejak dahulu lagi sekaligus menafikan persepsi Abdul Hadi kuat di kawasan tersebut.

Hasbie yang juga bekas Pengarah Pendidikan Politik Pemuda PAS Pusat bagaimanapun tidak bermaksud mahu memperlekeh parti lamanya itu yang dipanggil sebagai 'parti rakan'.

"Saya sudah buat kajian. Dua buku dikeluarkan mengkaji kekuatan dan pencapaian PAS ini sejak 1959.

Sebab itu, PAS jika dengan perangai sekarang yang tidak mahu berkawan dengan orang lain, memang kembali ke tahun 1986 dengan hanya menang satu kerusi di Pengkalan Chepa.

"Di Terengganu, tahun itu (1986), Cikgu Pa (Datuk Mustafa Ali, kini Pengarah Pilihan Raya PAS) beritahu, PAS berarak, yakin menang tapi hanya dua kerusi sahaja yang menang," ujarnya.

Beliau menyatakan tiga fakta bagi menafikan dakwaan PAS dan presiden parti berkenaan -  Abdul Hadi - berpengaruh di negeri pantai timur itu.

Beliau berkata, tanggapan PAS kononnya kuat pada pilihan raya umum (PRU)  tahun 1959 tidak benar kerana berlaku perpecahan undi antara parti Perikatan (nama lama Barisan Nasional) dengan Parti Negara ketika itu.

Dalam pilihan raya 1959, PAS hanya dapat 36 peratus sahaja undi popular. Perikatan dapat 35 peratus, pecah dua sebab 17 peratus undi Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaafar (bekas Presiden Umno pertama).

Maknanya, bukan sebab PAS paling kuat.

Menurut kemenangan besar PAS pada PRU tahun 1999 pula berkaitan dengan faktor pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia setahun sebelum itu.

"(PRU) 1999, sebab kes mata lebam Anwar Ibrahim. Itu fakta sebab tahun 1995, PAS hanya menang 43 peratus sahaja undi popular dalam keadaan seluruh orang Terengganu tidak mahu lagi Wan Mokhtar Wan Ahmad (bekas Menteri Besar, 1974 hingga 1999) tapi dia boleh menang lagi.

Hasbie Muda berkemeja oren bersama Rafizi Ramli serta pimpinan AMK dan Armada Terengganu dalam satu program Pemuda Amanah negeri baru baru ini
"Undi popular (PAS) daripada 43 bertambah 13 peratus jadi 56 peratus. Itu yang dapat 28 kerusi. Bukan sebab PAS kuat," tegasnya pada Ceramah Pakatan Harapan di Cabang Tiga, Kuala Terengganu Jumaat (malam 3 Mac lalu).

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana parti politik tidak boleh bersendirian sebaliknya perlu bekerjasama serta berpolitik berasaskan fakta termasuk mengambil kira pengalaman juga sejarah lalu.

"Sebab itu, saya mahu mengajak orang muda di kawasan DUNn Bandar dan Parlimen Kuala Terengganu, kita jangan takutlah. Nak duduk dalam PAS, silakan tetapi keputusan pimpinan parti tuan-tuan kalau rasa tak betul, mesti berani kritik.

"Takkan presiden cakap semua betul. RUU (Rang Undang-undang) 355, kita di Amanah dan Pakatan Harapan kritik sebab itu cek kosong. Eh, tak sampai tiga bulan, tiba-tiba dia sendiri (Abdul Hadi) pinda kepada ada jumlah tahun dan sebat," bidasnya.

Mengulas lanjut tentang sikap politik sebahagian anak muda yang dilihat masih bersama PAS, beliau menasihatkan supaya golongan tersebut mendapatkan pandangan daripada mereka yang lebih berusia selain banyak membaca.

"Kita (orang muda) mungkin tiada waktu 1986. Kita kena berdamping orang lama. Orang tua dulu juga pernah muda. Mereka melalui pengalaman dan membandingkan dengan keadaan sekarang. Sebab itu mereka bersama Pakatan Harapan.

"Baca buku supaya keputusan yang dibuat pada waktu muda ini, kita tidak menyesal kemudian hari. Saya juga yakin 30 tahun akan datang, orang muda hari ini juga akan menerima formula Pakatan Harapan dan sedar bahawa PAS tidak boleh bersendirian," tambah Hasbie lagi.

Untuk rekod, keputusan PRU-13 dengan PAS masih dalam Pakatan Rakyat (nama gabungan parti pembangkang ketika itu) menyaksikan Abdul Hadi yang bertanding di P 037 Marang hanya memperoleh majoriti 5,124 undi.

Rekod itu jauh  lebih rendah berbanding Ketua Umum PKR ketika itu, Anwar Ibrahim di P 44 Permatang Pauh yang berjaya menang majoriti 11,721 undi manakala Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di P 162 Gelang Patah menguasai majoriti 14,762 undi.


2 comments:

  1. Parti serpihan bukan dominan selain PAS dan UMNO tidak akan mendapat sokongan di Terengganu. Fahami dan selami budaya politik Melayu Terengganu

    ReplyDelete
  2. Terengganu tidak mempunyai parti politik serpihan yang berkesan sepertimana yang pernah ditunjukkan menerusi keputusan pilihan raya. Parti Negara yang diketuai Onn Jaafar, Parti Melayu Semangat 46 diketuai Ku Li dan PKR yang diketuai Wan Azizah(atas proksi Anwar) dan Pakatan Harapan diketuai oleh Tun M tetap juga mengalami kekalahan yang parah di Terengganu. Kegagalan memahami budaya politik Melayu Terengganu akan menjadi kubur kepada parti-parti politik serpihan yang bertanding di Terengganu. Politik Terengganu citranya adalah Islam-Melayu.

    ReplyDelete