Bekas Pengarah
Jabatan Perhutanan negeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam atas
tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM60,000 daripada seorang kontraktor
untuk kelulusan pembalakan, empat tahun lalu.
Datuk Azmi Nordin, 58, yang kini bertugas sebagai
Pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan, Pejabat Hutan
Semenanjung mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa
di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan
RM30,000 pada 3 Mac 2013 melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Azhar
Nordin daripada kontraktor balak, Yew Keong Fah untuk memperoleh kelulusan
membalak kepada syarikat Ciri Bina Machinery & Hardware Sdn. Bhd. di
Kompartmen 36b dan 40a, Hutan Simpan Hulu Terengganu, Mukim Tersat, Daerah Hulu
Terengganu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa
menerima suapan RM20,000 pada 16 Jun 2013 dan RM10,000 pada 13 Ogos tahun sama
daripada Keong Fah melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Syarikat D Laman
Kulturakebunan bagi mendapat kelulusan membalak di tempat yang sama.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan
Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika
sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Azmi diikat jamin RM15,000 dengan
seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta mengarahkan pasport tertuduh
diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan sementara menunggu sebutan
semula kes pada 8 Mei ini.
No comments:
Post a Comment