Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan wakil
rakyat PAS agar ruang khas untuk keluarga disediakan dalam pawagam di
PB Sentral di sini bagi membolehkan pengasingan penonton lelaki dan wanita
dilakukan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan
negeri Datuk Mohd Jidin Shafie berkata walaupun cadangan itu agak “membebankan”
pengusaha pawagam tersebut, pihaknya akan cuba melihat kesesuaiannya.
“Sejak dilancarkan pada 18 Mac lalu, sambutan orang ramai
sangat memberangsangkan. Saya dimaklumkan banyak tayangan filem yang penuh
panggung, ini bagus untuk hiburan seisi keluarga.
“Kita kena ingat, tak semestinya yang datang tu belia
saja, anak dan ibu bapa, adik beradik pun datang tengok juga…tak semestinya
akan berlaku masalah sosial, tapi tak apalah kita tengok nanti bagaimana boleh
buat tambah baik,” katanya.
Beliau menyatakannya menggulung titah ucapan Sultan
Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN di Kuala Terenggan
semalam.
Beliau mengulas isu dibangkitkan Ariffin Deraman
(PAS-Alor Limbat) (gambar kanan) yang mahu kerajaan negeri mengasingkan penonton lelaki dan
wanita dalam pawagam.
Kelmarin ADUN PAS meminta kerajaan mengkaji
semula serta menarik balik operasi panggung wayang di PB Sentral kerana
dikhuatiri akan menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan muda-mudi di
Terengganu.
ADUN Alur Limbat itu
berkata, waktu tayangan Panggung Wayang sehingga jam 1 pagi dilihat tidak
bersesuaian serta menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.
“Kita khuatir jika operasi panggung wayang hingga jam 1 pagi
kerana mesti ada dalam kalangan pengunjung yang datang bersendirian dan balik
bersendirian. Jadi ia memberi peluang kepada aktiviti jenayah yang membahayakan
keselamatan.
“Waktu operasi yang hanya berhenti pada jam 6 petang hingga 9
malam pula tidak sesuai terutama pada bulan Ramadan kerana pada waktu itu
sepatutnya semua sibuk untuk berbuka puasa dan menunaikan solat terawih,"
katanya.
Arifin turut mempersoalkan berkenaan pengasingan tempat duduk
bagi lelaki dan wanita yang sebelum ini dikatakan ingin dilaksanakan di situ.
“Ada di sesetengah negeri telah melaksanakan dan memberi syarat
bagi pengusaha pawagam supaya mengasingkan lelaki dan perempuan serta
di tayang dalam suasana cerah. Walaupun ada kamera litar tertutup (CCTV),
tayangan perlulah dalam suasana cerah.
“Jadi, kita minta kerajaan kaji balik dan menarik balik pawagam ini kerana ia memberi impak kepada masalah sosial dalam kalangan rakyat
terutama remaja memandangkan kita turut berdepan dengan isu anak tidak sah
taraf, kes khalwat dan sebagainya,” katanya.
Pawagam itu dibuka secara berperingkat iaitu di tingkat tujuh sahaja dan
operasi penuh dijangka pada Mei 2017 yang mana mampu menempatkan seramai 700
penonton pada hari biasa serta pertambahan sekali ganda kepada 1,400 penonton
pada hujung minggu.
Pawagam di PB Sentral yang dikendalikan Lotus
Fivestar Cinemas (M) Sdn Bhd bermula 18 Mac lalu menyediakan 11 dewan yang akan
dibuka secara berperingkat.
Mohd Jidin yang juga ADUN Permaisuri berkata ketika ini
CCTV memang sudah dipasang di beberapa kawasan sesuai
di sekitar panggung tersebut untuk tujuan keselamatan pengunjung.
“Alor Limbat kata pastikan pawagam ni dalam
cerah. Nak tengok wayang memanglah kena gelap sebab cahaya skrin pun dah cerah.
“Kerajaan negeri ambil maklum juga pawagam ini
tidak akan beroperasi pada hari kebesaran dalam Islam. Ia hanyalah sekadar
tempat hiburan untuk seisi keluarga. Biarlah ada sedikit hiburan di Terengganu
ni yang sesuai dalam penerimaan rakyat negeri ini,” katanya.
Katanya, operasi panggung wayang itu tertakluk kepada
peraturan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 serta
Kaedah-kaedah Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003.
No comments:
Post a Comment