Thursday, June 8, 2017

PAS, UMNO ‘Bermesra’ Di Terengganu – Apa Reaksi, Sambutan Akar Umbi

Teks AMANAT HADI berbunyi:
"Saudara-saudara sekalian percayalah, kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
"Percayalah saudara-saudara sekalian.
"Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan "politik suku, agama suku?"
Ucapan penting Hadi pada 7 April 1981, di Banggol Peradong, Kuala Nerus
 dan seterusnya dijadikan sebagai Amanat Haji Hadi oleh penyokongnya.
Tidak lagi diketahui sejauh mana ‘Amanat Hadi’ oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong ini kini masih digunapakai oleh pemimpin PAS Terengganu sendiri.
Malah boleh dikatakan dengan beberapa perkembangan terbaru kini, ia bagai  sudah ‘dicampak jauh-jauh’ Aamanat Presiden PAS itu walau di Terengganu  sendiri.
Ironinya Hadi sendiri belum menarik balik Amanatnya itu walaupun dilihat begitu mesra dan akrab dengan UMNO.
Perkembangan yang dimaksudkan bermula dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Hadi di Marang, di mana kini hubungan antara pemimpin PAS dan UMNO semakin intim dari hari ke hari di Terengganu, negeri yang sebelum ini merekodkan tragedi sembahyang dua imam antara UMNO dan PAS.
Pada 28 Mei lalu, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru, Datuk Husein Awang menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan berbuka puasa bersama di Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus.
Turut serta adalah Timbalan Pesuruhjaya, Dr Alias Razak dan Datuk Dr Khairudin Aman Razali, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat.
Di majlis ini, Zahid kelihatan berpelukan dengan Khairudin tanda kemesraan antara kedua-duanya.
Keesokan harinya, pada 29 Mei, sekali lagi Khairudin menampakkan kemesraan antara PAS dan UMNO.
Beliau menyertai Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman melancarkan jambatan baru dan kemudiannya kelihatan kedua-duanya menaiki kereta bersama.
Kesemua perubahan ini berlaku seolah-olah satu pusingan 180 darjah hubungan antara UMNO dan PAS di Terengganu.
Perkembangan ini dilihat membuka lembaran baharu kepada politik Terengganu khususnya ke arah kerjasama PAS-UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) setelah  PAS menolak untuk bersama-sama Pakatan Harapan.
UMNO pula dilihat senang dengan perkembangan ini dan menyambut baik jika PAS ingin bekerjasama dengan parti itu.
Kalau dahulu mereka bersengketa kini kedua-duanya mesra.
Dengan kedudukan ini apakah  penyokong akar umbi PAS atau UMNO tetap mempertahankan bahawa mereka tetap berlawan dengan antara satu sama lain?
Jika tidak, apakah akan berlaku satu landskap baru politik hubungan UMNO-PAS Terengganu?

No comments:

Post a Comment