Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)
di beberapa lokasi terpilih sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2)
dijangka mempertingkatkan lagi tahap keselamatan pengguna lebuh raya itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam,
Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman berkata ketika ini
kerja-kerja pemasangan kamera AES sedang dilaksanakan antaranya di Chukai,
Kijal dan Paka.
"Ia adalah langkah kerajaan untuk memastikan
pengguna LPT2 tidak memandu terlalu laju sekali gus mengurangkan risiko
kemalangan.
Ia satu tindakan mendidik pengguna jalan raya agar lebih
berhati-hati di sepanjang pemanduan, bukan hanya bertujuan untuk saman
semata-mata," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis
berbuka puasa anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik semalam.
Ditanya sama ada AES itu akan beroperasi menjelang Hari
Raya Aidilfitri tidak lama lagi, beliau berkata ia bergantung pada tempoh
pemasangan sistem itu.
"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana apabila
siap, ia akan diuar-uarkan kepada orang ramai agar mereka lebih berwaspada
ketika memandu di LPT2," katanya.
Mengenai haiwan ternakan yang masih berkeliaran di LPT2
pula, Rosli berkata operasi penangkapan akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) dan rondaan pula dilakukan oleh syarikat pengendali lebuh raya.
"Baru-baru ini ada operasi yang telah dilakukan di
Kijal dan hasilnya berjaya tangkap tiga ekor lembu tapi malangnya selepas tangkapan
dibuat masih ada lagi lembu lain yang berkeliaran di kawasan tersebut dan
operasi akan terus ditingkatkan," katanya.
Pandai kerajaan mukat
ReplyDelete