Wednesday, March 22, 2017

PAS Bertanding Semua Kerusi Secara Bersendirian Di Terengganu?


Wartawan veteran,  Subky  Abdul Latif PAS berpendapat adalah ‘membuang masa’ berbincang dengan parti-parti lain kerana mereka tidak bersedia menerima syarat yang dikemukakan PAS.

Beikutan itu, beliau melihat PAS  sebagai sebagai parti yang layak bertanding pada semua kerusi di negeri Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

PAS tidak ada pilihan yang banyak buat masa ini, tegas tokoh wartawan dan orang lama PAS berkenaan.

Pada sesi temubual dengan Harap TV di Kuala Terengganu pada Ahad, 19 Mac 2017, beliau yakin PAS akan menjadi pembangkang yang kuat di Terengganu.

Beliau seperti menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) apabila mengatakan ‘sepatutnya apabila mereka telah berpecah dengan UMNO mereka mengikut PAS kerana PAS telah ada dasar ‘PAS Ganti UMNO.”

Menurut Subky: “Sepatutnya PAS bertanding semua…..dulu pun, dua tiga PRU yang lepas sepatutnya, PAS bertanding semua tapi kerana wujudnya Pakatan (Pakatan Harapan) jadi kita bahagi-bahagikan kerusi.

“Parti-parti yang ada itu memaksa PAS untuk bersedirian…….maka pilihan kita tidak ada, sepatutnya apabila mereka telah berpecah dengan UMNO mereka mengikut PAS kerana PAS telah ada dasar ‘PAS Ganti Umno’,” jelasnya.

Subky turut mempersoalkan pendapat kononnya UMNO  bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk menguasai beberapa negeri.

“Ia hanya ‘cakap-cakap manis’ sahaja. Sedangkan hakikatnya, UMNO sebenarnya tidak mahu PAS bertanding walau satu kerusi pun.

“UMNO ni dia tak akan setuju (parti lain) ambil satu kerusi pun dalam dunia ini! Dia (UMNO) nak ambil semua itu hajat dia,” tambah beliau.

Berikutan kedudukan ini, beliau berpendapat PAS mampu menjadi pembangkang yang unggul.

“PAS akan menjadi pembangkang yang tunggal yang kuat kerana PAS dengan bersendirian dia dapat mengemukakan pendapatnya.

“Mungkin pada masa ini PAS tidak mendapat kejayaan yang besar, tetapi pada jangka panjangnya PAS akan menjadi kuat,” ujarnya.

Menyentuh RUU 355 yang akan dibawa oleh Barisan Nasional pada sidang parlimen, beliau berkata, ia menjadi tanggungjawab kerajaan membawa perkara tersebut.

Katanya, sepatutnya Dato’ Onn Jaafar telah melaksanakan kehendak Islam sejak Malaysia merdeka sebagaimana yang disarankan oleh pemimpin PAS.

Menurutnya, Dr Burhanuddin al-Helmi berkata ketika menerima kemerdekaan, tidak ada kemerdekaan yang sebenarnya, tanpa melaksanakan syariat Islam.

“Tetapi apabila PAS sokong, tidak bermakna PAS akan ‘tutup’, kalau PAS tak ada, mungkin dia tak buat, (dan memang) sepatutnya pindaan RUU 355 itu kerajaan yang bawa, tetapi kerajaan gagal bawa, jadi PAS yang bawa.

“Kita sudah lama wujudkan enakmen syariah di Kelantan dan Terengganu, jadi dengan yang dibawa oleh mereka sesuai dengan apa yang dkemukakan PAS, kita akan sokong asalkan undang-undang syariah dapat dilaksanakan,” tegas Subky.

Monday, March 20, 2017

Ahmad Said - Senarai Calon Akan Diserahkan Terus Kepada Najib


Apakah  Datuk Seri Ahmad Said tidak mengiktiraf Badan Perhubungan UMNO Terengganu apabila akan menyerahkan sendiri senarai nama calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk UMNO Bahagian Kemaman kepada Perdana Menteri?

Apakah kepimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif tidak diiktiraf bekas Menteri Besar Terengganu itu?

Semalam bekas Menteri Besar itu mengatakan beliau akan menyerahkan sendiri senarai nama calon PRU14 untuk Umno Bahagian Kemaman kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Atau Ahmad Said bimbang senarai akan diubah oleh pucuk pimpinan UMNO Negeri sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO berkenaan?

Apakah ini antara persetujuan Ahmad Said dan Najib dalam menyelesaikan kemelut politik sebelum ini?

Ahmad Said pada majlis di Kemaman semalam.
Menurut Ahmad Said semalam,  senarai berkenaan akan diputuskan UMNO  Bahagian Kemaman menerusi perbincangan yang akan dibuat dan selepas itu beliau sendiri akan berjumpa dengan Najib untuk berbincang mengenainya.

"Bila kita dapatkan senarai itu daripada perbincangan kita, saya akan berusaha untuk bertemu perdana menteri sendiri dan serahkannya.

"Saya tak nak orang buat spekulasi (mengenai senarai calon), buat pilihan macam-macam dan akhirnya ia akan menjejaskan parti apatah lagi dalam keadaan politik ketika ini," katanya kepada pemberita.

Beliau menyatakannya  selepas menyempurnakan majlis perasmian mesyuarat berkelompok cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Pejabat Umno Bahagian Kemaman, malam kelmarin.

Bagaimanapun setakat ini, Ahmad berkata, senarai nama calon itu masih belum dibincangkan jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding lagi dalam PRU14 nanti, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mahu komen apa-apa...tapi apa-apa boleh terjadi, dalam politik tak ada perkara mustahil," katanya.