Monday, April 17, 2017

Mampukah Rosli, Din Adam Ubati Penyakit 'Cah Keting' Di Dungun?

Din (paling kanan, pada program Perdana Menteri semalam.
"Hanya Din Adam dan Rosli Mat Hassan ada ubat atasi penyakit ‘cah keting’ di Dungun tetapi bagaimana sekiranya kedua-duanya terus menjadi pesakit?"

Dungun kini didominasi oleh PAS apabila ia menang di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka, Sura dan Rantau Abaang.

Ia juga memang di Parlimen Dungun.

Di hadapan rakyat ramai pada satu majlis di Dungun semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara terbuka menasihatkan Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam, bersama bekas Ketua UMNO Bahagian, Datuk Rosli Mat Hassan dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud supaya mengelakkan perbuatan ‘cah keting’ atau sabotaj.

Kenyataan Presiden UMNO menggambarkan kebenaran mengeni wujudnya ‘cah keting’ di kalangan pemimpin UMNO di DUN dan Parlimen Dungun. Namun apakah ia akan dapat dihentikan?

‘Cah keting’ akan tetap berlaku kerana kesan pemilihan Bahagian UMNO Dungun di mana Din dan Rosli berentap dan ‘dendam yang membara’ antara mereka belum terpadam.

Kemenangan tiga sayap parti yang berpihak kepada kem Rosli dalam pemilihan sebelumnya ternyata bukan deposit untuk membolehkan Rosli sebaagai penyandang Ketua Umno Bahagian Dungun itu mengekalkan kedudukan apabila dirampas pencabarnya, Din.

Keputusan Din yang juga bekas ADUN Bukit Besi masuk gelanggang sekali lagi pada Oktober 2013  itu bagi menentang Rosli setelah dikecewakan pada pemilihan sebelumnya  akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menambat hati majoriti perwakilan dengan meraih 431 undi berbanding Rosli dengan 358 undi.

Rosli tewas pilihan raya dan tewas di Bahagian UMNO Dungun.
Malah di satu-satunya DUN di menangi oleh Barisan Nasional (BN) iaitu Bukti Besi juga dikatakan bergolak apabila nama penyandangnya, Roslee sering ‘tenggelam-timbul’ dalam senarai calon BN yang dikatakan akan bertanding pada PRU-14.

Begitu juga dengan senarai calon Parlimen di mana Din dan Rosli dikatakan bersilih ganti dan jelas walaupun tewas pada pilihan raya lalu, Rosli masih mengintai Parlimen berkenaan.

Din bagaikan tersepit antara Rosli dan Roslee apabila sesekali namanya ‘naik’ di DUN Bukit Besi dan sesekali di Parlimen Dungun.

"Jangan cah keting. Pastikan Anggota Jawatankuasa turun sampai ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan PDM turun kepada Ketua Cawangan. Ketua Cawangan pula turun kepada Ketua kampung.

 "Semua perlu dalam satu pasukan sebab kita kena tubuh kerajaan yang kuat kerana saya mempunyai visi yang besar untuk Malaysia," tegas Najib semalam.

Najib yang juga Pengerusi BN  semalam tetaap menyatakan keyakinannya bahawa  BN akan terus kekal menerajui Terengganu walau dalam keadaan apa sekali pun.

Ini  berdasarkan perkembangan semasa dan kegigihan pemimpinnya membela nasib rakyat.

Namun di sebalik keyakinan itu, Najib menekankan  perpaduan di kalangan pemimpin amat perlu diberi perhatian. Ia  agar kawasan-kawasan yang tewas dapat dikuasai semula bagi mengukuhkan kedudukan parti dan kerajaan.

Razali verceramah di pentas PAS di Dataran Ketengah Jaya.
Sejauh ini hanya DUN Bukit Besi sahaja dapat dikekalkan oleh UMNO selepas PAS dan PKR bertelagah di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum lalu.

Najib jelas  tahu masalah yang telah, sedang dan akan berlaku di Dungun, iaitu perbuatan sabotaj sesama sendiri di kalangan calon dan penyokong BN.

DUN Paka dan DUN Rantau Abang tergolek ke tangan PAS pada pilihan raya umum 2013 kerana banyak faktor tetapi paling besar ialah ‘cah keting’ (sabotaj).

Berikutan itu, Najib menarik perhatian bahawa sekiranya tanpa berlaku `cah keting' sesama sendiri, ini akan lebih mudah mengembalikan kerusi Parlimen Dungun juga kerusi DUN  Sura, Paka dan Rantau Abang kepada BN.

Itu hanya atas kertas namun kekuatan dan kekukuhan PAS Dungun terserlah, apalagi Pesuruhjaya PAS, Satiful Bahri Mamat ada di Dungun iaitu ADUN Paka.

Sementara kepimpinan yang lain juga Nampak teguh dan padu.

Ini semakin bertambah kuat apabila jelas pemimpin Perti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu turun berceramah bersama-sama pemimpin PAS Dungun di Dataran Ketengah Jaya baru-baru ini.

Kesediaan Pengerusi Badan Pimpinan PPBM Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris menguatkan lagi keyakinan PAS bahawa ia bukan sahaja mampu mengekalkan tiga kerusi DUN tetapi juga kerusi Parlimen.

Semalam Najib ke Kampung Santong, Paka melancarkan program Jom Bantu Rakyat peringkat negeri Terengganu dan pecah tanah Rumah Idaman Rakyat (RIR) di kampong tersebut.

Harapan Najib dan pemimpin UMNO di Parlimen Dungun dan di empat DUN ialah dapat membawa perubahan tetapi ternyata penyakit ‘cah keting’ sukar untuk diubati.

Tidak diketahui sama ada PPBM akan bertanding di kerusi UMNO (Bukit Besi) atau akan dikekalkan kepada PKR tetapi yang nyata, sekiranya PPBM dan PAS bekerjasama dengan dibantu oleh PKR, harapan Najib akan berkecai.

Apakah Dungun akan mengikut jejak langkah Kuala Terengganu yang memberikan kemenangan 5-0 (1 Parlimen dan 4 DUN) kepada pembankang atau UMNO akan mengekalkan kerusi tradisinya Bukit Besi sekali lagi.

Hanya Din dan Rosli ada ubat atasi penyakit ‘cah keting’ di Dungun tetapi bagaimana sekiranya kedua-duanya terus menjadi pesakit?

Sunday, April 16, 2017

22 Hotel, Resort Tereggannu Ada Sijil Halal - JHEAT

Ghazali ( dua, kanan) menyerahkan sijil pengesahan halal kepada Sham Fazli (kanan) 
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) merekodkan hanya 22 daripada 124 atau kira-kira 18 peratus hotel dan resort di negeri ini mempunyai sijil pengesahan halal.

Hotel dan resort yang mempunyai sijil pengesahan halal itu terdiri daripada 16 di Kuala Terengganu, dua di Marang, masing-masing satu di Besut, Hulu Terengganu dan Setiu, manakala terdapat satu di Kemaman yang masih dalam proses pengesahan.

Meskipun pengesahan sijil halal bukan sesuatu yang wajib dimiliki hotel atau resort yang mempunyai dapur makanan, namun peratusan yang sangat rendah itu wajar diberi perhatian serius.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, pengusaha hotel atau resort seharusnya menyedari bahawa dengan adanya pengesahan sijil halal secara tidak langsung memberi banyak kelebihan kepada mereka.

“Kita sarankan kepada pengusaha hotel dan resort untuk mohon sijil halal, ia bukan sesuatu yang wajib tetapi atas kesedaran.

“Ini kerana, dengan adanya sijil halal akan dapat memberi keyakinan dan jaminan kepada pelanggan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia Kepada Duyong Marina & Resort, di sini.
Hadir sama, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim dan wakil Duyong Marina & Resort, Sham Fazli Jusoh.

Menurut Ghazali lagi, pihaknya turut menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa sukar untuk memperoleh sijil pengesahan halal serta terpaksa menunggu sehingga enam bulan.

“Dakwaan mengatakan proses permohonan mengambil masa sehingga enam bulan adalah tidak benar.

 Sebaliknya, permohonan hanya mengambil masa tidak lebih sebulan dengan syarat telah patuhi peraturan yang ditetapkan,”katanya.