Tuesday, April 17, 2018

WANITA TERENGGANU BOLEH BERGANTUNG HARAPAN KEPADA HARAPAN....


Oleh Hambali Abdul Latiff

Pada ketika Barisan Nasional (BN) Terengganu masih terkial-kial memikirkan siapa calon wanita dan di mana akan ditempatkan untuk bertanding pada pilihan raya kali ini, HARAPAN Terengganu sudah membuat keputusan muktamad.

HARAPAN Terengganu melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah pun mengumumkan akan meletakkan sekurang-kurangnya dua calon wanitanya.

Calon-calon berkenaan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bakal mewarnai perbahasan isu wanita di DUN Terengganu.

PKR akan bertanding 11 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen. Ini bermakna kuota untuk calon wanita bagi PKR ialah 20 peratus.

PKR akan bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Dungun dan Kemaman serta 11 kerusi Dun iaitu Kota Putera, Permaisuri, Seberang Takir, Bukit Tunggal, Bandar, Alor Limbat, Kuala Berang, Telemong, Rantau Abang, Chukai dan Air Putih.

Khatijah Sidek
Langkah ini semestinya mengejutkan bukan sahaja BN dan PAS tetapi komponen HARAPAN sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Rekod BN Terengganu sehingga kini ialah kosong calon wanita berbanding PAS dan BEBAS.

Yang pasti, PPBM yang sudah mengumumkan barisan calonnya tidak akan meletakkan calon wanita sementara PAS diuar-uarkan tidak akan meletakkan sebarang calon wanita kali ini.

AMANAH juga dikatakan tidak akan meletakkan calon wanita.

PAS akan bertanding 32 kerusi DUN, PPBM 10 kerusi DUN sementara AMANAH ialah 11 kerusi DUN.

Tiada calon wanita BN untuk DUN sejak pilihan raya umum 1974 walaupun calon wanita mewakili Perikatan, Teh Hassan pernah menang dengan menewaskan calon PAS di DUN Chukai (N19) pada pilihan raya umum 1969 dengan majoriti hanya 421 undi.

Pada peringkat Parlimen,  Khadijah Sidek, iaitu bekas Ketua Kaum Ibu UMNO yang bertanding di atas tiket PAS di Dungun menang pada 1959.

Dua wanita lain yang  pernah bertanding kerusi parlimen di Terengganu ialah Siti Nor Abdul Hamid Tuah (PSRM) di Parlimen Ulu Nerus pada 1974 dan Maimun Yusof dikenali sebagai Tok Mun sebagai calon BEBAS di parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum ke-12 dan ke-13.

Sehingga kini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sudah membayangkan seorang calon dijangka akan diletakkan di sebuah DUN.

Diramalkan calon berkenaan akan diletakkan di DUN dalam Parlimen Marang.

Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) akan membuka lembaran sejarah tersendiri dari segi keberanian parti meletakkan calon wanita untuk membuktikan PKR Terengganu memang bersedia dan terbuka dalam isu ini.

Tok Mun (Maimun  Yusof)
Malah PKR Terengganu pimpinan Azan Ismail mengambil langkah nekad dengan harapan pengundi wanita di Terengganu akan menyokong usaha ini bersandarkan kepada kepentingan dan sumbangan wanita di negeri itu.

“Kita saksikan sendiri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak ada wakil rakyat wanita sedangkan banyak isu membabitkan wanita dikemuka dan diperkatakan.

“Sewajarnya ada wanita yang bersuara pada persidangan DUN dan berbicara isu wanita termasuk soal pengurusan ekonomi, rumah tangga, perkahwinan, kesihatan dan banyak lagi,” tegas Azan pada sidang media semalam.

Azan yang juga Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya HARAPAN Terengganu membayangkan bahawa jika calonnnya menang dan kerajaan negeri dibentuk oleh HARAPAN, pasti akan ada  Exco Wanita bakal dilantik.

Menurutnya, tidak wajar kepimpinan wanita di DUN Terengganu dipandang sebelah mata.

Sewajarnya Terengganu dijadikan negeri pertama di Pantai Timur memberikan ruang seluas-luasnya terhadap penglibatan wanita dalam jawatan-jawatan dan pembuatan keputusan penting dalam kerajaan negeri.

Azan berpendapat soal wakil rakyat dan EXCO wanita ini sudah terabai begitu lama. Beliau  berharap akan ada lebih daripada HARAPAN Terengganu untuk calon wanita.

Beliau memberi jaminan akan mengotakan cakapnya pada pengumuman calon PKR pada 20 April ini di Kuala Terengganu nanti.

Beliau memaklumkan, melalui Manifesto dan Belanjawan HARAPAN 2018, soal kedudukan  kedudukan wanita, khususnya peluang untuk mereka memimpin  dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Terengganu, diperkatakan dengan jelas.

HARAPAN berharap dengan membuka peluang lebih besar kepada wanita termasuk dalam bidang pendidikan, kemahiran dan keusahawanan, ekonomi wanita khususnya suri rumah tangga dan ibu tunggal akan dapat dipertingkatkan.

Peluang untuk melonjakkan diri dan membantu suami serta keluarga akan hanya dapat dicapai melalui dasar dan pelaksanaan strategi yang dirangka HARAPAN.

Dengan adanya penyertaan wanita dalam DUN Terengganu, apa lagi dengan adanya Exco Wanita, usaha ini akan membuka kejayaan kepada wanita Terengganu yang sekian lama terabai.

No comments:

Post a Comment