Monday, May 14, 2018

Apakah Saman Royalti DiTarik Balik Oleh BN/UMNO Masih Terpakai?


Oleh
HAMBALI ABDUL LATIFF
(Bahagian Ketiga – sambungan daripada Apabila Dana RM432 Juta 'Lesap', Royalti Digantikan Dengan Wang Ihsan

Semalam penulis memperkatakan mengenai saman Kerajaan PAS Negeri Terengganu dan bagaimana ia  tergantung selepas PAS kalah pada pilihan raya umum 2004.

Sebaik sahaja Kerajaan Barisan Nasional (BN)/UMNO Terengganu ditubuhkan selepas pilihan raya 2004 itu, Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Rosol Wahid mengatakan Kerajaan Negeri pimpinan BN akan meneruskan saman.

Ia bertujuan mendapatkan semula royalti minyak daripada Petronas dan Kerajaan Pusat.

Kenyataan yang dibuat oleh Rosol dan dilaporkan oleh media pada 5 Januari 2005 menyebut kerajaan negeri mahu mendapat bayaran dalam bentuk royalti dan bukannya melalui Dana Khas Persekutuan seperti yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat di era PAS.

Rosol Wahid
Untuk rekod, saman bertujuan  membolehkan Kerajaan Terengganu mendapat semula royalti minyak sebanyak lima (5) peratus daripada Petronas seperti yang terkandung dalam perjanjian antara kedua-dua pihak pada tahun 1974.

Semasa pemerintahan PAS dari tahun 1999 hingga awal 2004, kerajaan menukar wang royalti minyak kepada wang ihsan dan disalurkan melalui UMNO Terengganu.

Rosol berhujah: "Wang dalam tangan sendiri lebih mudah untuk kita membuat projek kepada rakyat. Skim sekarang ialah kita memohon dari Kerajaan Pusat untuk mendapat wang yang dibayar setelah kita membuat projek tertentu.

Kerajaan  Terengganu perlukan wang sendiri kerana percaya dengan cara begitu, kerajaan negeri mempunyai sumber kewangannya sendiri setiap tahun," tambahnya.

Rosol yang juga Exco Kerajaan Terengganu berkata, kerajaan negeri mendapat kira-kira RM500 juta setahun daripada Dana Khas Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek di seluruh negeri itu.

(Pembayaran royalti minyak untuk Terengganu adalah dalam lingkungan RM500 juta hingga RM700 juta setahun, bergantung kepada harga minyak di pasaran dunia).

Selepas isu ini terdiam atau didiamkan beberapa ketika, tiba-tiba pada pada 18 Jun 2008 media melaporkan Kerajaan Negeri BN/UMNO Terengganu akan menarik balik berhubung tuntutan supaya mengembalikan royalti minyak kepada negeri itu, yang dibuat tujuh tahun sebelum itu

Menteri Besar ketika itu - Datuk (kini Datuk Seri) Ahmad Said - berkata kerajaan negeri mahu  berbuat demikian selepas menerima surat rasmi daripada kerajaan Persekutuan berhubung penyerahan semula royalti itu.

Menurut Ahmad, pihaknya sering  mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) untuk mendapatkan semula royalti minyak.

Malah beliau bersyukur hasrat kerajaan negeri dikatakan sudah menjadi  kenyataan.


Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu pada hari berkenaan (Rabu) dengan merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri pada Sabtu sebelum itu bahawa, kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan sepenuhnya hak pengurusan royalti minyak sebanyak lima (5) peratus kepada kerajaan Terengganu yang ditarik balik sejak 2000.

Abdullah ketika mengumumkan keputusan itu berkata penyerahan semula royalti itu akan dibuat sebaik sahaja perincian mengenai perkara itu termasuk prosedur penyerahan ditetapkan dengan kerajaan negeri Terengganu.

Ahmad beri jaminan kerajaan negeri menghantar wakil bagi mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan terutama Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcob berhubung pengembalian wang royalti itu, dalam tempoh terdekat.

“Menteri Kewangan Kedua pernah memberitahu perbincangan ini penting untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan royalti minyak yang akan dikembalikan mulai tahun ini. Selain itu kita juga hendak tahu jumlah wang terkumpul dan baki kepunyaan kita yang bakal diperolehi,” katanya.

Ahmad meminta kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan Terengganu bagi digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan -  untuk faedah rakyat.

Menariknya, laporan Sinar Harian pada  28 April 2012   menyebut bahawa ‘Isu royalti minyak selesai’ dan walaupun tidak mengejutkan, banyak pihak ragu-ragu dan persoal mengenainya.

Kenyataan Ahmad itu dibuat bagi  mengulas tinda­kan pembangkang yang nyata belum berpuas hati dengan penjelasan bahawa Kerajaan Negeri BN/UMNO sudah menarik balik saman tuntutan royalti minyak.

“Benda dah selesai dan kerajaan Pusat juga telah bersetuju untuk serah balik (wang royalti). Apa kita hendak bergaduh lagi,” demikian kata Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Ahmad menegaskan penarikan balik saman tuntutan royalti minyak petroleum terhadap Petronas dan Kerajaan Malaysia oleh Kerajaan Terengganu itu adalah langkah tepat kerana telah mendapat kembali apa yang dikehendaki.

Di sebalik itu, Kerajaan Negeri menganggap tiada sebab untuk terus memberi penjelasan kepada pembangkang. Ini  kerana semua perkara telah jelas dan terserah kepada pembangkang untuk membuat pelbagai andaian. demikian menurut Ahmad Said.

“Apa yang kita hendak bergaduh lagi (dengan kerajaan Pusat dan Petronas) kerana tuntutan kita telah dipersetujui dan atas sebab itu kita telah menarik balik saman,” katanya.

Abdul Wahid bersama Ahmad Said pada sidang DUN.
Dua hari sebelum itu Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu menolak usul yang dikemukakan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung penarikan balik saman tuntutan royalti petroleum terhadap Petronas dan Kerajaan Malaysia.

Abdul Wahid yang juga Pesuruhjaya PAS  negeri mendesak Kerajaan Negeri memberi penjelasan kepada Dewan mengenai terma penyelesaian yang dipersetujui.

Ini termasuk bayaran balik yang belum dilunaskan dan perbelanjaan serta pembayaran dibuat menggunakan wang royalti Terengganu.

Selain jawapan di DUN, Menteri Besar turut menjelaskan berkaitan  saranan sebuah badan bukan kerajaan yang mahukan kerajaan negeri mendapatkan royalti sebanyak 20 peratus. Katanya: “Persoalan itu tidak berbangkit sama sekali sebaliknya rakyat perlu bersyukur dengan apa yang diperolehi.

“Jumlah royalti lima (5) peratus sudah mencukupi kerana dengan jumlah yang ada, sudah mampu menjana pendapatan untuk meningkatkan kehidupan rakyat, “ tegasnya.

Yang nyata, apa yang dituntut oleh saman PAS dianggap tidak lagi valid melalui kenyataan Menteri Besar itu.

Cuma persoalannya apakah saman kerajaan negeri sebelum 2004 itu terbatal dengan sendirinya - hanya melalui persetujuan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Posit, tanpa apa-apa keputusan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi?

Isu menarik ialah apakah Kerajaan Negeri PAS yang baharu ditubuhkan selepas pilihan raya 9 Mei lalu akan membuat tuntutan semula?

Bolehkah mereka melakukannya selepas saman oleh kerajaan negeri sudah ditarik balik?

Esok – Royalti – Apa Sikap Kerajaan PAS Terengganu Yang Baharu?

2 comments:

  1. Alhamdulillah, Chairman Amanah dan PKR Terengganu dah bejanji akan jadi penghubung antara Federal dan Kerajaan Pas Negeri.. dan berusaha memudahkan urusan pengembalian royalti.. Semuga usaha mereka dua ni dirahmati tuhan

    ReplyDelete
  2. Jangan takut saman je ph itu kalau tak bagi royalti minyak, selagi allah bersama rakyat pasti rakyat akan menang, lagi satu nak nasihat jangan pas kena bersikip matang jika media Kuasai ph cuba fitnah pas, pas hendak saman mereka2 merosakan pas itu dengan fitnah ada.

    jangan Pas bersikap budak2 kan seperti pas kuasai terenganu dulu Ketika 1999 Ketika era tun mahathir berkuasa dulu, Kerajaan bn rata2 dibawah pengaruh tun m itu menyekat royalti minyak bagi wang esan itu pada bn ketika untuk uruskan royalti minyak itu Pada akhir pas telah halau balairaya Budak2 dari taska balairaya milik kerajaan ke teregganur Menyebab pas gagal mendapat sokongan dari penduduk setempat, pas kena bertindak matang untuk hadapi ph rata2 kuasai orang tun mahathir itu..

    Aku yakin pas kena bertindak matang bijak untuk hadapi ph jika mereka tak mahu bagi royalti, apa patut pas buat saman kerajaan pusat Ph jika mereka tak ikut undang2 malaysia ditetapkan Menbayar royalti minyak ini, sekadar pendapat pengalaman lama harus jadi pengajaran pada aku percaya dalam perjuang pas itu untuk agama islam

    ReplyDelete