Monday, May 14, 2018

Royalti - Apabila Keadaan Sudah Menjadi ‘No Liberty To File Again’...

Menteri besar Terengganu

 Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF
Bahagian Keempat - sambungan daripada 'Adakah
  Saman Royalti DiTarik Balik Oleh BN/UMNO Masih Terpakai?'

Menyebut soal royalti minyak di Terengganu, ia bagaikan perebutan terhadap  harta pesaka peninggalan ayah, datuk atau nenek moyang.

Belumpun Kabinet Kerajaan Persekutuan siap dilantik dan  pun begitu di Terengganu – EXCO juga belum diputuskan – sejak dua tiga hari kebelakangan ini pemimpin  PAS begitu gelojoh memperkatakan sumber pendapatan daripada minyak dan gas.

Mereka membicarakan soal royalti minyak seolah-olah matlamat mereka untuk menang pilihan raya di Terengganu hanya untuk mendapatkan hasil royalti berkenaan.

Bukankah PAS sebelum ini mendakwa tanpa royalti minyak daripada Kerajaan Pusit dan Petronas, mereka mampu mentadbir kerajaan negeri dengan baik?

Mana kata-kata itu selepas menang dan menawan Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei lalu?

Daripada  Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN)  hinggalah ke Menteri Besar, isu mendapatkan royalti  ini bagaikan perkara penting kedua selepas mengangkat sumpah jawatan.

Manifesto HARAPAN mengenai royalti.
Kenapa sampai begitu sekali pemimpin PAS bimbang mengenai pendapatan daripada minyak dan gas ini ke kantung kerajaan Terengganu?

Pentingnya royalti minyak ini kepada kerajaan negeri pimpinan PAS segala-nya digambarkan melalui ucapan sulung Menteri Besar yang baru dilantik.

Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan sulungnya ketika kuliah Dhuha di Rusila, Marang, pada 11 Mei lalu tidak dapat menyimpan perasaan yang terbuak-buak bagi menegaskan kepada rakyat Terengganu mengenai tekadnya untuk terus menuntut hak royalti minyak Terengganu.

Malah beliau berjanji akan melakukan  pelbagai pendekatan termasuk tindakan undang-undang.

Apakah Kerajaan Negeri PAS akan menyaman sekali lagi Kerajaan Persekutuan dan Petronas selepas sama pertama itu sudah ditarik balik?

Apa yang penulis dimaklumkan oleh pakar undang-undang termasuk  bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, kerajaan PAS sekarang tidak lagi mempunyai peluang atau ruang untuk menyaman Putrajaya atau Petronas.

Dengan kata lain, “no liberty to file again’ setelah kerajaan Barisan Nasional/UMNO menarik balik saman berkenaan..

Apakah pemimpin PAS, termasuk ADUN Rhu Rendang itu yang pada malam sebelumnya mengangkat sumpah sebagai menteri besar PAS selepas memenangi 22 daripada 32 kersi DUN Terengganu pada pilihan raya umum 9 Mei lalu tahu atau faham mengenainya.

Beliau bebas untuk berkata bahawa “Kita akan memperjuangkan dengan pelbagai cara pendekatan undang-undang, pendekatan secara berunding untuk mendapatkan kembali royalti minyak Terengganu dan juga mendapatkan hasil daripada Telaga Bertam yang telah dihilangkan dan ditiadakan dari kewangan kerajaan negeri, ” namun ruangnya di mana dan bagaimana?


Pun begitu dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (gambar atas) yang mengingatkan Kerajaan Pusat  bahawa pemerintah perlu menghormati pilihan demokratik yang telah dibuat oleh rakyat dengan memilih barisan kepimpinan daripada Pas untuk menerajui negeri itu.

“Apa yang menjadi hak negeri,  mestilah diurus oleh negeri. Barulah urus tadbir berjalan lancar dan memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Dengan  mengungkitkan bahawa  janji Pakatan Harapan (HARAPAN adalah untuk mengembalikan semula royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Terengganu adalah selari dengan apa yang dituntut Pas selama ini, ia bukan suatu bukti kukuh untuk menuntut daripada Putrajaya atau Petronas.

Lebih kelakar ialah apabila Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri turut menyatakan bahawa PAS berharap HARAPAN  dapat memenuhi janji manifesto untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak termasuk Kelantan dan Terengganu.

Tuan Ibrahim mengingatkan HARAPAN bahawa  rakyat akan menilai sejauh mana manifesto itu dapat dilaksanakan di mana menurutnya,  janji manifesto berkaitan royalti minyak itu amat relevan dalam konteks Kelantan dan Terengganu.

Bila pula HARAPAN berjanji untuk kembalikan royalty sebanyak 20 peratus?

Pada pertemuan dengan pemimpin HARAPAN, Dr Mahathir tidak pernah menyebut angka 20 peratus.

Manifesto HARAPAN Terengganu dengan jelas dan praktikal mengambil saranan Dr Mahathir yang menyebut hanya 10 peratus royalti boleh dituntut.

Itupun kalau HARAPAN menang.

Dan dengan HARAPAN kalah di Terengganu dan Kelantan. Tidakkah dengan  sendirinya terbatallah janji pada manifesto berkenaan.

Persoalan juga bukankah undi oleh rakyat Terengganu itu bermakna rakyat enggan menerima janji berkenaan.

Anak Datuk Seri Abdul Hadi Awang – bekas Menteri Besar yang mana wang royalti sebanyak RM432 juta dilaporkan ‘lesap’ ketika era pemerintahannya – turut bersuara.

Laporan akhbar pada 13 Mei 2018 memetuk beliau menyebut bahawa Dewan Pemuda Pas Pusat berharap kerajaan Persekutuan yang baharu tidak mengetepikan hak-hak negeri Terengganu dan Kelantan untuk memperoleh royalti minyak sebagai sumber hasil bagi membangunkan negeri dan rakyat.

Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Kerajaan Persekutuan tidak harus mengulangi tindakan yang diambil ketika kerajaan Pas memerintah Terengganu pada 1999 apabila royalti ditarik balik dan ditukar statusnya kepada Wang Ihsan.


Baginya isu royalti ini sangat penting bagi Kelantan dan Terengganu (berkait dengan manifesto Pakatan Harapan),. negeri-negeri yang punyai petroluem perlu dihormati tentang hak mendapat royalti.”

Persoalannya  juga kenapa kaitkan hasrat kerajaan Terengganu pimpinan PAS dengan Manifesto HARAPAN yang jelas tidak membawa apa-apa erti serta tidak ada kena mengena antara kedua-duanya.

Apakah semua kenyataan pemimpin PAS ini hanya kenyataan politik semata-mata untuk menunjukkan kepada rakyat yang mereka perjuangan royalti tetapi hakikatnya tidak ada ruang untuk mereka mengemukakan tuntutan yang dainggap sah.


Jika demikian, apakah silap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kerana menarik balik saman royalti terhadap Putrajaya dan Petronas?

Bersambung – Nasib Terengganu Bergantung Kepada Saman Oleh Kerajaan PAS Kelantan?

No comments:

Post a Comment