Saturday, May 12, 2018

Hasil Royalti - Rakyat Terengganu Akan Berputih Mata?

Oleh Hambali Abdul Latiff
(Siri Pertama)


KUALA TERENGGANU(12 Mei 2018) : Satu daripada tawaran penting yang dibuat oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu untuk rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14, Khamis (9 Mei 2018) lalu ialah menaikkan royalti petroleum dan gas kepada 10 peratus (10%).

Walaupun tuntutan ini mulanya ‘tidak begitu dipersetujui oleh HARAPAN Pusat’(perkataan royalti), namun dengan HARAPAN Terengganu memohon Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkannya demi rakyat Terengganu, ia dipersetujui untuk dijadikan tawaran.

Namun ternyata sebilangan besar rakyat Terengganu tidak mahu menerima tawaran ini dan menolaknya dengan tidak menyokong HARAPAN.

Jelas melalui penolakan rakyat Terengganu terhadap HARAPAN di mana tiada seorang pun calon yang bertanding sama ada pada kerusi Parlimen (8) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menang - memberikan gambaran jelas mengenai tawaran untuk  royalti ini.

Apa maknanya di sebalik penolakan itu?

Rakyat Terengganu jelas tidak menyokong tawaran itu sedangkan ia sewajarnya menjadi mudah untuk dilaksanakan apabila HARAPAN kini sudah menawan Putrajaya.

Dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang bersetuju dengan tawaran HARAPAN Terengganu itu ttapi ditolak mentah-mentah oleh sebahagian besar rakyat Terengganu yang menyokong PAS dan Barisan Nasional (BN)/UMNO, mereka jelas tidak berminat dengan tawaran itu.

HARAPAN dengan jelas menyebut dalam Manifestonya bahawa jika ia dapat memerintah Terengganu, royalti akan dikembalikan dan bukan sekadar lima (5) peratus tetapi 10 peratus (10) peratus.

 

Namun apakah daya apabila rakyat Terengganu menolak HARAPAN yang dengan sendirinya bermakna menolak royalti sebanyak 10 peratus itu.

Bayangkanlah, melalui Wang Ehsan pun kerajaan negeri sebelum ini dibayar hampir RM2 bilion setahun, iaitu pada kadar lima peratus. Inikan pula sebanyak 10 peratus, kiralah sendiri jumlahnya.

Namun yang nyata, rakyat Terengganu lebih berminat untuk PAS memerintah, sambil turut menolak BN.

Tidak diketahui setakat ketika ini bagaimana Wang Ehsan akan diserahkan oleh kerajaan Posit.

Jelas sejarah beulang kembali apabila PAS dapat membentuk kerajaan negeri, Putrajaya dikawal olrh parti yang tidak sehaluan dengan PAS.

Malah, sejarah juga tercipta, apabila kembalinya PAS memerintah Terengganu – orang yang sama menjadi Perdana Menteri pada ketika Pas menang pada 1999 - Dr Mahathir turut kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Apakah ia sebagai secara kebetulan atau suatu ‘sumpahan’ di bumi Terengganu apabila terpaksa  berdepan dengan seorang Perdana Menteri yang dikutuk dan dicerca oleh PAS pada kempen pilihan raya yang baru berlalu.

Pemimpin PAS di segenap peringkat mempersenda,’menghukum’ malah ada yang melemparkan berbagai tuduhan terhadap beliau, namun kuasa Allah swt tiada siapa boleh tentukan – Dr Mahathir kembali ke Putrajaya.

Apakah halangan terhadap kerajaan PAS Terengganu akan menjadi semakin besaar dan sukar, berbanding dengan sebelum ini?

Jika pada tahun 2000, kerajaan Pusat memperkenalkan dasar Wang Ehsan, apakah kali ini aka nada dasar baharu?

Selain berkemungkinan mengekalkan Wang Ehsan. bagaimana dengan saluran wang petroleum dan gas untuk rakyat?

Apakah Putrajaya akan menubuhkan sebuah agensi seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan di Terengganu, di mana pendapatan daripada hasil petroleum akan disalurkan melaluinya seperti yang dilakukan oleh Putrajaya terhadap Kelantan sebelum ini?

Atau Dr Mahathir akan memperkenalkan satu agensi baru yang pastinya tidak memihak kepada kerajaan PAS Terengganu untuk ‘berbelanja sesuka hati mereka’ tetapi perbelanjaan daripada pendapatan minyak dan gas akan dikawal.

Kawalan adalah untuk menjamin pendapatan hasil bumi negeri itu dibelanjakan dengan berhemah dan berjimat cermat.

Kritikan HARAPAN terhadap kerajaan negeri BN/UMNO sebelum ini ialah ia berbelanja ‘ikut kepala Menteri Besarnya’ walaupun ramai pemimpin UMNO dan pentadbir Terengganu tidak bersetuju dengan cara perbelanjaannya.

Dalam kedudukan ini, apa kuasa dan cara untuk kerajaan negeri Terengganu membantah untuk mendapatkan semula hak royalty berkenaan?

Apakah bantahan mereka akan menjadi sah atau valid?

Sedangkan saman mereka  terhadap kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) berhubung tuntutan supaya mengembalikan royalti minyak kepada negeri itu, yang dibuat pada 8 Mac 2001-  sudah tidak terpakai atau boleh lagi dipakai?

Kenapa tidak boleh digunakan?

Bersambung esok...

1 comment: