Saturday, May 12, 2018

Kerajaan PAS Bawa Mesej Kasih Sayang Untuk Semua - Dr. Ahmad Samsuri

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan menyampaikan watikah perlantikan Menteri Besar Terengganu ke-15 kepada ADUN Rhu Rendang, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) pada Majlis Perlantikan Menteri Besar baru di Istana Syarqiyyah, Bukit Chendering

Menteri Besar Terengganu yang baharu, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan sebarang penambahbaikan yang bakal dilakukan dalam proses peralihan kuasa di negeri ini kelak tidak akan menganiaya mana-mana pihak.

Ahmad Samsuri berkata, ini sebahagian daripada mesej kasih sayang untuk semua golongan tanpa mengira bangsa yang merupakan aspirasi PAS ke arah mewujudkan sebuah kerajaan untuk rakyat.

“Kita ingin mengurangkan seminimum mungkin masalah akibat pertukaran kerajaan kerana apa yang paling penting adalah kebajikan dan perjalanan hidup rakyat di samping jabatan dan agensi tidak terjejas.

“Kita akan PAStikan tidak ada masalah dalam pengurusan kerajaan walaupun mungkin ada rombakan tetapi tanpa menganiaya mana-mana pihak kerana itu adalah asas kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selePAS istiadat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu di Istana Syarqiyyah, di Kuala Terengganu malam kelmarin (10 Mei 2018).

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Samsuri yang berkelulusan Doktor Falsafah Aeroengine Ignition and Combustion High Altitude Engine Failure dari Universiti of Leeds, United Kingdom merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden PAS dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Beliau yang berasal dari Besut merupakan pakar aeroangkasa dan menjadi rujukan semasa kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menerima watikah pelantikan itu turut membabitkan 10 anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, PAS juga akan mencari jalan terbaik untuk menyempurnakan, menambah baik dan memastikan projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan tidak membebankan rakyat bahkan, memberi limpahan ekonomi.

Katanya, PAS yang mempunyai perancangan jangka panjang apa yang ingin dicapai di Terengganu berjanji akan meneruskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat di samping menambah bantuan baharu yang mungkin sebelum ini tertinggal atau diabaikan.

PAS mengulangi sejarah yang dilakarnya pada 1999 apabila sekali lagi berjaya menawan Terengganu dengan menguasai sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Terengganu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kemenangan itu membolehkan PAS membentuk kerajaan baharu di Terengganu yang diumumkan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Hussin Awang yang disaksikan puluhan ribu penyokong PAS di Dewan Tok Guru bersebelahan Masjid Rusila, malam kelmarin.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pula mengucapkan tahniah kepada Pas yang memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berikrar memberikan kerjasama bagi peralihan kuasa berjalan dengan lancar.


“Kepada mereka yang menang, ingatlah bahawasanya anda tidak menang semua. Dan begitu juga kepada mereka yang kalah, anda tidak kalah semua.

“Saya juga mohon diberikan sedikit masa untuk tempoh bertenang dan membuat perancangan yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Ahmad Razif yang memenangi kerusi Seberang Takir merupakan antara 10 calon BN yang mampu bertahan daripada gelombang hijau di negeri ini yang melanda secara mengejut.

Rakyat yang memperlihatkan keinginan untuk sekali lagi melakukan perubahan, memberi peluang kepada Pas sebagaimana Pilihan Raya Umum 1999, dengan menguasai 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 14 dalam PRU-13.

Namun dalam gelombang di peringkat nasional dengan kebangkitan gabungan pembangkang PKR yang melanda seluruh negara tidak begitu terkesan di negeri ini apabila PKR yang turut bertanding di semua 32 kerusi tidak mencapai sebarang kemenangan.

(Sumber - Utusan Online)

No comments:

Post a Comment