Demi keselamatan guru dan murid selain ketelusan pentadbiran, wajar sekali pihak yang berwajib menyiasat dan melihat kembali aspek keselamatan dan ketelusan Jawatanbkuasa Pengurusan sekolah berkenaan...
Perhimpunan yang diadakan oleh lebih 1,500 orang di Paka tengah hari kelmarin walaupun membabitkan murid, guru, ibubapa dan Jawatan Pengurusan Sekolah Darul Bayan, hakikatnya ia adalah bantahan politik.
Mereka mendesak agar tanah 5 lot yang sudah menjadi milik peribadi diserahkan kepada pihak sekolah yang didirikan di atas tanah kerajaan.
Jika benar mahu membantah tanah 5 lot itu, cukup dengan murid, guru dan jawatankuasa pengurusan sekolah sahaja yang berdemo. tetapi kenapa mesti ada pemimpin PAS satu daerah, juga dari Kuala Terengganu?
Perhimpunan berkenaan berjalan dalam aman kerana pihak yang dibantah, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Paka dan pemilik tanah tidak mengambil sebarang tindakan balas atau menganggu perhimpunan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Zakaria@ Ariffin Abdullah ketika itu berada di suatu tempat lain ketika kumpulan itu berarak ke pejabatnya untuk menyerahkan memorandum.
Menurut ADUN berkenaan beliau bukan melarikan diri tetapi kebetulan ada temu janji. Malah beliau tidak tahupun kumpulan itu mahu menyerahkan memorandum bantahan kepadanya.
Dengan kata lain, mereka yang dibantah tidak mahu mengikut rentak pembantah yang menamakan ‘Demonstrasi Membantah Kezaliman 5 JKKK Rampas Tanah’.
Pehimpunan diadakan di hadapan Sekolah Rendah Islam Darul Bayan Jalan Santong itu jika mendapat tindak balas pemilik tanah yang sah atau ahli parti UMNO kawasan berkenaan mungkin akan menjadi ‘tidak terkawal’.
Himpunan yang bermula dengan perarakan secara berjalan kaki sejauh kira-kira 1.5 kilometer, memakan masa selama 15 minit dan berakhir di hadapan Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Paka.
Selain disertai oleh pelajar,guru dan ibu bapa kelihatan juga beberapa kaitangan Petronas menyertai bantahan itu.
Beberapa individu yang dapat dilihat dengan jelas pada perhimpunan itu ialah:
1. Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, SAIFUL BAHRI MAMAT 2. Setiausaha PAS kawasan Dungun - NORULALZAHAR BIN ALI 3. Najib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu – WAN SUKAIRI ABDULLAH 4. Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun - MOHAMAD HANAFI ABDUL AZIZ 5. Bendahari PAS Kawasan Dungun – ROSLAN ISMAIL 6. Ketua Penerangan PAS Dungun – JAMALUDDIN JUSOH
Selain individu yang hadir itu menggambarkan saf kepimpinan PAS Dungun, ucapan-ucapan juga bersifat politik apabila dalam ucapan, mereka menyalahkan pemimpin UMNO tempatan dan pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
Mereka mengatakan menentang kezaliman dengan menyalahkan UMNO dan JKKK yang dikatakan merampas tanah anak-anak yatim.
Malah dalam ucapannya Saiful Bahri mengatakan ADUN UMNO Paka adalah punca kezaliman yang menyebabkan tanah berkenaan dirampas.
Mohd Hanafi pula dalam ucapannya memberi amaran bahawa jangan cuba bermain api kerana ada pemuda dan lelaki yang tidak akan membenarkan kezaliman ini dibiarkan.
Beliau bagaikan mengugut untuk melakukan sesuatu agar tanah itu dipulangkan kembali walaupun sudah menjadi hak milik beberapa individu yang dikaitkan.
Apa yang jelas, selain bantahan bersifat politik, Saiful Bahri turut mengaitkan isu ini dengan kemelut UMNO sebelum ini yang kononnya Zakaria sengaja membiarkan isu ini berlanjutan dan mahu dilepaskan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kerana beliau adalah ‘orang Idris Jusoh’.
Cara Saiful Bahru mempermainkan politik fitnah seperti ini tidak akan memberikan kesan apa-apa kerana seperti disebut oleh Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa UMNO Terengganu sudah bertaut kembali.
Kenapa Saiful Bahri cuba ‘menangguk di air keruh’ sedangkan isu asas ialah tanah 5 lot yang diperjuangkan dan kini sudah menjadi milik orang?
Bagaimana kalau ada pihak berdemonstrasi supaya sekolah dan beberapa bangunan yang dibina di atas tanah kerajaan secara haram itu perlu dirobohkan?
Saiful Bahri mengatakan tanah 5 lot itu hak milik anak yatim. Bilakah pihak sekolah atau individu memohon tanah berkenaan? Sedangkan sekolah yang sedang digunakan sekarang pun terpacak di atas tanah kerajaan.
Sebagai pemimpin yang memperjuangkan Islam, apa hukum mendiri dan menggunakan bangunan di atas tanah haram?
Ada kalangan mereka mengatakan ‘ini tanah Allah’ dan kita boleh berbuat apa sahaja. Bolehkah kita lakukan sedemikian di Kelantan dan di Kedah atau di Selangor seperti yang Jawatankuasa Pengurusan sekolah berkenaan perlakukan di Paka?
Apakah keadilan hanya muncul apabila keperluan dan kehendak kita tertunai tetapi sanggup menafikan hak orang lain?
Bagaimana hak tuan tanah yang menjadi pemilik yang sah tetapi tidak dapat menggunakan tanah berkenaan kerana kini dipagar dan dianggap hak milik sekolah berkenaan?
Selama ini pernahkah kerajaan Terengganu menganggu atau memberi amaran untuk meruntuhkan sekolah yang dibina di atas tapak tanah yang haram itu?
Sebagai orang yang mahir dalam pentadbiran tanah, Menteri Besar boleh menggunakan kuasanya untuk melakukan sesuatu tetapi mungkin kerana ‘berhati perut’, tidak sanggup menggunakan kuasa untuk bertindak.
Selain itu berapa jumlah sewa atau hasil tanah dibayar oleh pihak sekolah kepada kerajaan di tanah tersebut? Boleh buat ‘bodoh’ begitu sahaja? Sedangkan derma dikutip dan tidak diketahui bagaimana derma itu digunakan untuk pembiayaan sekolah berkenaan.
Paling malang jika berlaku sesuatu kepada sekolah yang didirikan tanpa kelulusan itu, siapa yang akan bertanggungjawab terhadap murid dan guru yang menggunakan bangunan tersebut?
Demi keselamatan guru dan murid selain ketelusan pentadbiran, wajar sekali pihak yang berwajib menyiasat dan melihat kembali aspek keselamatan dan ketelusan Jawatanbkuasa Pengurusan sekolah berkenaan.
Selain itu, oleh kerana ada laporan polis, kita berharap ada sesuatu tindakan diambil terhadap pihak yang melakukan perhimpunan haram ini (walaupun secara aman)kerana tidak mahu kemungkinan-kemungkinan buruk akan berlaku di masa depan.
Kita bersyukur kerana pihak yang dibantah tidak mengikut sentimen politik dengan bertindak balas atau mengganggu perhimpunan berkenaan.
No comments:
Post a Comment