Ahmad Said menjawab soalan wartawan mengenai lampu limpah di SSINS selepas mensyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. - Gambar teganuku
Mungkinkah akan hangat semula pertelingkahan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah?
Isu lampu limpah diperkatakan sejak beberapa minggu lalu akhirnya memuncak apabila hampir 10,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di antara Terengganu dengan Kedah terpaksa bergelap selama lebih setengah jam malam kelmarin.
Berikutan itu, perlawanan ditamatkan lewat berbanding perlawanan yang berlangsung di tempat lain.
Insiden itu berlaku ketika pemain kedua-dua pasukan melangkah masuk ke padang untuk memulakan babak kedua perlawanan dengan tuan rumah mendahului 1-0 seminit sebelum berakhir babak pertama.
"Kejadian ini (lampu stadium padam) sangat memalukan, saya amat tak puas hati dengan kejadian ini."
Demikian luahan Ahmad Said mengenai insiden lampu limpah yang terpadam lebih setengah jam sehingga perlawanan bola sepak Liga Super Terengganu melawan Kedah itu tergendala.
Masalah lampu limpah padam satu hal tetapi yang menyebabkan Menteri Besar ‘hangin’ ialah cara pemeriksaan lampu limpah yang dilakukan oleh FAM yang menurutnya tidak telus.
Beliau diberitahu, ketika pemeriksaan pertama oleh FAM sebelum liga bermula, Persatuan Bolasepak Terengganu (PBSNT) diberitahu kedatangan pegawai pemeriksa berkenaan. Selepas pemeriksaan, stadium dikatakan boleh digunakan untuk perlawanan sebelah malam dan mencukupi bacaan 800 lux.
Bagaimanapun, pihak FAM ada menasihati supaya penjagaan lampu perlu dilakukan sepanjang masa kerana pencahayaan mungkin akan semakin berkurangan dari masa ke masa.
Dan selepas itu tiba-tiba minggu lalu, ada pegawai FAM datang lagi membuat pemeriksaan tanpa memaklumkan PBSNT dan pihak yang ‘mengawasi’ stadium berkenaan.
Kemudian ada kenyataan akhbar bahawa lampu di stadium berkenaan tidak sesuai untuk perlawanan sebelah malam. Ini kerana bacaan pencahayaan di kesemua lampu sekadar mencatat bacaan 500 lux berbanding 800 lux jumlah maksimum yang ditetapkan.
Siapa yang hantar pegawai berkenaan secara 'senyap-senyap' datang untuk menguji bacaan pencahayaan lampu limpah berkenaan?
Ahmad Said kesal dengan sikap sambil lewa pihak-pihak berkenaan yang tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri lebih awal mengenai apa masalah sebenar yang berlaku membabitkan lampu limpah stadium itu.
"Ini yang buat saya marah dan masalah ini sesuatu yang memalukan. Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab sama ada MBKT (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) atau PBSNT (Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu) maklumkan pada kita apa masalah sebenar.
"Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab sama ada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) atau PBSNT atau pihak-pihak yang berkenaan memaklumkan masalah sebenar kepada kita (kerajaan negeri) supaya kita boleh mengatasinya," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Kuala Terengganu semalam.
Menteri Besar berkata, sehingga kini pihak yang bertanggungjawab terhadap stadium itu langsung tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah lampu limpah di stadium itu yang berlarutan sejak sekian lama.
"Kalau kita tahu apa masalah sebenarnya, boleh kita cari jalan menanganinya. Kalau FAM tetapkan limpahan cahaya lampu 800 lux, kita pasang 900 lux, kalau mahu ikut peringkat antarabangsa iaitu 1,200 lux, kita pasang 1,300 lux walaupun ia menelan belanja sehingga RM3 juta. "Tapi kalau ia perlu pasang tiang dan kabel baru memerlukan RM3 juta, sedangkan kabel yang sedia ada kita sudah belanja RM1 juta. Kalau buat baru membazirlah. Susah-susah kita main siang saja," katanya.
Menurut Ahmad Said, kerajaan negeri atau beliau sendiri tidak perlu panggil mereka yang terlibat kerana itu tugas mereka untuk beri penjelasan.
Ahmad Said selanjutnya berkata, beliau pelik bagaimana masalah itu masih berulang sedangkan sebelum ini lampu limpah itu telah dibaik pulih dengan meningkatkan tahap pencahayaannya.
Difahamkan kerajaan negeri sudah berbelanja lebih RM800,000 untuk tujuan itu.
Beliau tidak menolak kemungkinan perlawanan-perlawanan akan datang yang dilangsungkan di stadium berkenaan terpaksa diadakan pada sebelah siang sekiranya masalah itu masih berlarutan.
Mengulas mengenai insiden memalukan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, perkara itu sememangnya tidak dapat dielakkan.
“Lampu (limpah) padam itu biasalah. Setahu saya tahun ini di stadium lain pun ada lampu yang padam. Pada saya, masalah ini (lampu limpah) berlaku kerana gangguan bekalan elektrik yang tidak dijangkakan sama sekali.
“Justeru, saya harap masalah ini tak akan berlaku lagi. Kita akan serahkan kepada MBKT (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) untuk membuat keputusan mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Pada perlawanan dengan Kedah itu, sebahagian penonton turut menjadi mangsa kerana tiket yang dijual menyebut perlawanan akan diadakan pada jam 4.45 petang, sebaliknya perlawanan diadakan pada sebelah malam.
Kini penyokong Terengganu sendiri tertanya-tanya kenapa ada dua pengumuman, termasuk di akhbar, iaitu perlawanan sepatutnya berlangsung pada sebelah petang kerana masalah lampu limpah.
Dan siapa pula yang membenarkan perlawanan diadakan pada sebelah malam, tidak sampai 24 jam pun selepas pengumuman awal dibuat?
Sesuatu perlu dilakukan segera kerana jangan sampai penonton menjadi mangsa ‘permainan’ pihak-pihak tertentu selain wang rakyat dibazirkan kerana kelemahan pengurusan sedangkan Menteri Besar berusaha menyediakan peruntukan yang besar untuk pasukan bolasepak kelab T-Team dan pasukan Terengganu!
No comments:
Post a Comment