Marlon James menyerlah dengan ATM walaupun sudah berusia. |
Selangor PKNS membuat banyak kejutan musim ini. |
Langkah tersebut adalah untuk memberi ruang bagi persediaan skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar, 6 Februari nanti.
Sebahagian besar pemain yang beraksi dalam Liga Super dan Premier terlibat dengan tugasan bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih, Datuk K. Rajagobal.
Belum pamer persaingan sebenar PERAK (jersi kuning) antara pasukan yang diramal mampu melontarkan saingan sebaik Liga Super bersambung pada 22 Februari depan. |
Setakat ini, lima perlawanan Liga Super dan Premier sudah dilangsungkan yang menyaksikan Pahang menerajui takhta Liga Super manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengungguli carta Liga Premier.
Selepas mengharungi lima perlawanan, Pahang berjaya mengutip 12 mata hasil empat kemenangan dan tewas sekali manakala PDRM pula mengumpul 13 mata hasil empat kemenangan dan seri sekali.
Walaupun selesa menerajui takhta ketika ini, ia belum memberi jaminan buat dua pasukan berkenaan untuk bergelar juara musim ini kerana perjalanan liga masih jauh.
Selepas lima perlawanan, saingan boleh dikatakan masih terbuka kerana tiada pasukan yang betul-betul memperlihatkan kelebihan masing-masing.
Pasukan-pasukan berstatus 'gergasi' masih terkapai-kapai mencari rentak kemenangan, dan kelemahan tersebut dipergunakan sepenuhnya oleh pasukan-pasukan kerdil yang memiliki kerja berpasukan tinggi untuk mencipta kejayaan.
Inilah yang membawa kejayaan kepada Pahang setakat ini, yang memperlihatkan kekuatan sebagai satu pasukan kerana semangat berpasukan dalam skuad kendalian Dollah Salleh itu cukup tinggi.
Seandainya semangat seperti itu dapat dikekalkan sehingga ke hujung musim, Pahang yang kembali ke saingan Liga Super musim ini boleh dianggap sebagai antara calon untuk menduduki tiga tempat teratas dalam liga.
Selain itu, Pahang juga dilihat cukup garang apabila berada di depan gawang lawan dan setakat ini, mereka telah mencetak 11 gol selepas mengharungi lima perlawanan.
Maknanya, jentera serangan mereka yang diketuai Azamuddin Mohd. Akil dan Mohd. Fauzi Roslan cukup kental untuk merobek gawang lawan.
Dollah juga tidak begitu mengharapkan sentuhan pemain import kerana dalam beberapa perlawanan sebelum ini, beliau lebih banyak memberi kepercayaan kepada barisan tempatan untuk membawa cabaran Pahang.
Begitupun, jentera pertahanan mereka perlu diperkemaskan kerana setakat ini, mereka sudah melepaskan enam gol yang membawa purata bolos satu gol dalam setiap perlawanan.
Sebelum saingan liga bermula pada 5 Januari lalu, Pahang bukanlah antara pasukan yang tersenarai sebagai kuasa dalam liga tempatan.
Tumpuan sebenarnya lebih terarah kepada juara trebel musim lalu, Kelantan, Johor Darul Takzim, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Terengganu.
Namun, secara tiba-tiba Pahang tampil mencipta 'gelora' baharu apabila tampil dengan prestasi yang agak luar biasa.
ATM setakat ini nampaknya masih mengekalkan konsistensi selepas mempamerkan kebangkitan pada pertandingan Piala Malaysia musim lalu dengan kejayaan melangkah ke final, namun mereka tewas kepada Kelantan.
Rentak cemerlang ATM itu yang dikendalikan oleh bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, terus dipamerkan pada saingan liga musim ini dan hasilnya mereka berjaya mencipta nama sebagai juara Piala Sumbangsih 2013 selepas menghampakan Kelantan.
Namun, masa depan bola sepak ATM agak meragukan kerana mereka masih memberi kepercayaan kepada pemain yang semakin dimamah usia untuk menggalas cabaran seperti Hairuddin Omar mahupun Mohd. Shukor Adan.
Tiada pemain muda yang betul-betul menonjol dalam skuad tersebut yang akan menjadi tunjang ATM suatu hari nanti.
Setakat ini, ATM selesa menduduki tempat kedua liga di belakang Pahang dengan mengutip 10 mata dan jentera serangan mereka yang diketuai Hairuddin dan Marlon Alex James juga memperlihatkan kegarangan selepas mencetak 10 gol dalam lima perlawanan.
Walaupun dibarisi sebahagian besar pemain veteran tetapi ATM tetap dianggap sebagai pencabar baharu dalam liga musim ini yang turut memperlihatkan gaya permainan cukup menarik.
Johor Darul Takzim (Johor DT) pula yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang, masih terkapai-kapai mencari rentak.
Kehadiran bekas penggempur Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha serta beberapa pemain kebangsaan seperti Mohd. Safee Sali, Safiq Rahim mahupun Aidil Zaquan Abdul Radzak, nampaknya masih belum mampu untuk menjulang skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu.
Selepas mengharungi lima perlawanan, skuad bimbingan Fandi Ahmad itu sekadar mengutip lapan mata untuk berada di tangga kelima hasil daripada dua kemenangan, dua seri dan tewas sekali.
Jentera serangan mereka juga masih dilihat tumpul dan sehingga kini baru meledak sembilan gol. Masalah paling ketara yang dialami skuad Johor DT ialah jentera pertahanan mereka yang dilihat kurang konsisten mempertahankan kubu mereka daripada dibolosi.
Setakat ini, mereka sudah melepaskan tujuh gol dan ia membuktikan betapa lemahnya pertahanan mereka walaupun di ketuai pemain kebangsaan, Adil Zaquan, Azmi Muslim dan Muslim Ahmad.
Bagi Fandi, masalah utama yang beliau kenal pasti dalam pasukannya setakat ini ialah keserasian dalam kalangan pemain
"Pemain bintang masih belum menunjukkan keserasian dengan pemain lain dan keadaan ini membimbangkan saya," kata Fandi selepas aksi menentang Perak pada saingan Piala FA minggu lalu.
Jika ada pasukan yang mampu menggegar saingan liga selepas ini, sudah pastinya Perak yang kini dikendalikan oleh Mohd. Azraai Khor Abdullah. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan Perak bakal menjadi pasukan yang perlu dihormati selepas ini memandangkan gaya permainan mereka cukup mempersonakan.
Sebahagian besar pemainnya terdiri daripada pemain muda dan mereka juga antara pasukan yang memiliki barisan pertahanan terbaik setakat ini, dengan hanya melepaskan tiga gol.
Jika Perak terus tampil dengan rentak yang telah mereka pamerkan dalam lima perlawanan lalu, tidak mustahil mereka akan menjadi pasukan tumpuan selepas ini.
Bagi saingan Liga Premier pula, Kedah dan PDRM boleh dianggap pasukan pilihan tetapi mereka perlu lebih waspada kerana pasukan-pasukan lain seperti Sabah, Sarawak dan juga Johor semakin memperlihatkan kebangkitan.
Apa pun, perjalanan liga masih jauh dan macam-macam boleh berlaku selepas ini sebaik saingan liga bersambung semula pada 22 Februari depan.
Kosmo
No comments:
Post a Comment