Monday, June 22, 2009

Jangan Pertikai Muka Baru Pimpinan UMNO

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, berharap pihak tertentu tidak mempertikaikan pelantikan baru bagi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri, yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, berkata pelantikan baru itu dikemukakan sendiri Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan negeri.

"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan selamat dan sempurna. Pelantikan ini diharap dapat memberi kepuasan kepada semua pihak.
"Kalau saya tidak pertikai dengan pelantikan ini dan menerimanya dengan lapang dada, kenapa orang lain perlu pertikai," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan buku elektronik atau e-Book kepada sekolah di daerah Hulu Terengganu di Sekolah Kebangsaan Ajil, hari ini.

Semalam, Hishammuddin mengumumkan pelantikan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri yang baru, menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek, pula dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri, menggantikan Datuk Mohd Zuber Embong, manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, pula dilantik sebagai Bendahari Umno negeri menggantikan Datuk Roslan Awang Chik.

Ahmad berkata, sebelum pelantikan baru itu dibuat, mereka terlebih dahulu telah berbincang termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

"Kita berjiwa besar dan ingin melihat Barisan Nasional (BN) meneruskan penguasaan di Terengganu dan menang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. Sebenarnya parti lebih penting, rakyat perlu diperjuangkan," katanya.

No comments:

Post a Comment