Oleh Che Ismail Che Yaacob
Tindakan merombak "kabinet" Umno Terengganu merupakan satu petanda bahawa Pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertekad meredakan kekalutan dalaman selain secara tidak langsung menyerlahkan betapa Umno Terengganu benar-benar dalam bahaya keranapan.
Sama ada menggugurkan sesiapa dan melantik sesiapa, Hisham sedar kedua-dua tindakan tersebut pasti mendatangkan reaksi berlainan. Biasalah yang digugur kata terima dengan hati terbuka, yang dilantik kata akan berusaha buat yang terbaik.
Melihat susur galur politik Umno Terengganu sejak Ahmad Said jadi Menteri Besar, ia kelihatan sungguh galak dan meriah dengan pelbagai jenis serangan dari team yang menyokong bekas MB, Idris Jusoh. Macam-macam telah terjadi, ini menandakan akan wujud gelombang penentangan kali kedua selepas beberapa kuncu IJ "terkorban" di medan perjuangan.
Walaupun hakikatnya, tindakan menggugurkan Datuk Rosli Mat Hassan, Datuk Roslan Awang Chik dan Datuk Zuber Embong tidak bermakna "dendam" berakhir, tetapi sekurang-kurangnya keadaan jadi lebih "terkawal" kerana mereka tidak lagi terbabit secara langsung dengan agenda pengurusan Umno negeri, selain memulihkan imej Umno Terengganu, setidak-tidaknya buat ketika ini.
Kemelut Umno Terengganu akan terus bergolak, cuma kini dalam nada berlainan, persepsi berlainan kerana serangan menerusi ruang dalam sudah disempitkan oleh Hisham. Kalau dendam belum terpadam selama itulah jalan merempuh musuh tetap diikhtiar. Selagi IJ masih menjadi idola, selagi AI terus jadi MB, kemelut tidak mungkin selesai.
Peranan Hisham memang berat, seolah tarik rambut dalam tepung, kalaulah tepung berterabur alamatnya Umno menerjun kubur, manakala Hisham menjadi sasaran tohmahan bukan sahaja di terengganu tetapi juga tercalar sebagai seorang menteri yang tak tahu jaga keamanan hal rumahtangga UMno sendiri.
"kabinet" baru Umno negeri adalah hak pengerusi, siapa dia nak pilih itu memang kuasa dia. Tindakan Hisham menggugurkan datuk-datuk yang kontroversi termasuk terbabit dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut disifatkan sebagai satu isyarat jelas Hisham tidak berkompromi dengan pemimpin yang "bermasalah".
Memanglah dilihat pada logiknya, pemimpin yang terlibat dengan siasatan korupsi wajar dinyahkan daripada barisan kepimpinan tapi tidak semua menerima nasib sedemikian. Ramai lagi yang walaupun ada kes korupsi tetapi masih teguh memegang pelbagai jawatan.
Tindakan berani Hisham mengeluarkan yang kotor demi membersihkan Umno wajar juga dijadikan ikhtibar oleh Umno Perak, khususnya kerajaan Zambry yang kemas mendukung 2 Adun Katak yang ketika ini masih berdepan kes rasuh di mahkamah.
Walaupun mereka tidak masuk Umno tetapi kerajaan Zambry amat memerlukan sokongan atas angin mereka ini untuk kekalkan kuasa BN di Perak. Maknanya Umno Perak memerlukan sokongan mereka yang dituduh rasuah di mahkamah, apa ertinya apabila kita menagih sokongan daripada mereka yang buruk imej seperti ini?
Bagaimanapun, cerita Umno Terengganu masih panjang, banyak lagi episod dalam pembikinan, termasuk apakah benar akan ditampilkan kepada rakyat sama ada wujud penyelewengan dalam projek-projek besar era IJ, tidak terkecuali insiden bumbung stadium yang runtuh. Harap-harap Hisham tidak sekat AS dedahkan petualang di sebalik projek rapuh terbabit.
No comments:
Post a Comment