Sunday, July 19, 2009

6,000 graduan YT akan dikenakan tindakan

Yayasan Terengganu (YT) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap 6,000 graduan anak negeri yang gagal melunaskan pinjaman pelajaran berjumlah lebih RM40 juta walaupun urusan pembayaran sudah dipermudahkan.

Pengarah YT, Kamaru Al Amin Ismail, berkata pihaknya mengambil pelbagai pendekatan untuk memudahkan peminjam, termasuk membuka kaunter pada hujung minggu dan bekerjasama dengan beberapa bank tempatan untuk kemudahan pembayaran dalam talian.

Beliau berkata, YT perlu mengambil tindakan tegas terhadap peminjam terbabit bagi membolehkan agensi itu menambah dana untuk memberi pinjaman atau biasiswa kepada pelajar lain.
“Daripada 6,000 peminjam, 1,000 sudah menerima surat daripada peguam dan kebanyakan mereka memberikan maklum balas positif dan menyegerakan pembayaran balik pinjaman.

"YT juga sudah mengambil tindakan mahkamah terhadap 10 peminjam kerana gagal memberikan sebarang maklum balas walaupun surat daripada peguam sudah mereka terima,” katanya selepas merasmikan Karnival Sains Sekolah Menengah (SM) Imtiaz dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terengganu di SM Imtiaz Kuala Terengganu, di sini, kelmarin.

Kamaru Al Amin berkata, selepas beberapa tindakan diambil bagi mengingatkan peminjam melalui peguam dilantik, YT kini dapat mengutip balik sejumlah RM1.5 juta sebulan berbanding sekitar RM500,000 hingga RM700,000 sebelum ini dan YT mensasarkan membuat kutipan sekurang-kurangnya RM12 juta setahun.
"Alhamdulillah, kini ia mula menampakkan perkembangan menggalakkan dan peminjam juga mulai sedar kepentingan mereka membuat pembayaran balik bagi memberikan peluang kepada lebih ramai anak Terengganu yang lain mendapat pembiayaan pelajaran melalui YT," katanya.

Ditanya mengenai permohonan mendapatkan pembiayaan pelajaran bagi tahun ini, Kamaru Al Amin berkata, YT menerima kira-kira 10,000 permohonan untuk membiayai pengajian peringkat diploma dan sarjana muda di seluruh institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta setahun.

No comments:

Post a Comment