Monday, July 6, 2009

COMBI tingkat kesedaran penduduk

Oleh: NIK SUHAILA MEGAT DERAMAN

Kebersihan amat dekat dan berkait rapat dengan kesihatan. Kadangkala kita mungkin terlupa bahawa penjagaan kebersihan yang rapi boleh menghindarkan manusia daripada serangan penyakit.

Pelbagai penyakit baru dan mudah berjangkit telah dikesan, terutama melalui kebersihan persekitaran yang mungkin sedikit terabai kerana sikap sambil lewa manusia terhadap perkara tersebut.

Selain itu sistem komunikasi yang kurang berkesan dalam menyampaikan maklumat terperinci dan terkini antara yang menyumbang kepada mala petaka daripada kecuaian kita sendiri.

Lantaran itu, satu jawatankuasa yang dipanggil COMBI ditubuhkan di Kampung Losong Haji Mat Shafie dan Kampung Losong Wakaf Nyior Kembar dilancarkan pada pertengahan bulan Mei lalu.

COMBI merupakan singkatan kepada “Communication for Behavioural Impact” (komunikasi untuk perubahan tingkah laku).

Ia adalah program yang menggunakan pendekatan komunikasi untuk mengubah tingkah laku berisiko tehadap kesihatan manusia dan bertujuan memperkasakan peranan komuniti dalam mencegah dan mengawal penyakit demam denggi.

Promoter COMBI merupakan penyampai maklumat kepada komuniti dan mereka yang terpilih adalah di kalangan penduduk setempat yang mengetahui sosio budaya tempatan dan mereka berperanan mengingatkan orang ramai supaya supaya menjalankan pemeriksaan di rumah masing-masing.

Seramai 25 sukarelawan yang dipanggil Promoter COMBI akan menyebarkan informasi yang akan disalurkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan MBKT.

Selain itu, mereka akan menggerakkan masyarakat penduduk setempat membuat pemeriksaan dan gotong royong di luar kawasan rumah seperti padang permainan, surau dan kawasan lapang.

Promoter terlatih ini akan mengedarkan risalah dan mengingatkan masyarakat untuk mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan sekiranya mengalami demam secara tiba-tiba.

Program anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama penuh Kementerian Kesihatan Malaysia itu dirasmikan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

No comments:

Post a Comment