Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengarahkan semua wakil rakyat dan pegawai daerah supaya mengenal pasti tanah kosong milik kerajaan di kawasan mereka yang sesuai dengan tanaman jagung.

Bagi petani yang mengusahakan tanaman jagung di kawasan seluas 0.4 hektar sahaja, mereka mampu meraih pendapatan RM10,000 dalam tempoh kira-kira tiga bulan.
“Kerajaan sedia memberi bantuan keperluan petani seperti jentera membajak, baja dan benih bagi membolehkan penduduk tempatan mengusahakan tanaman jagung secara berkelompok,” katanya.
Menurut beliau, petani boleh mengusahakan tanah berkenaan selama mana mereka mampu berbuat demikian, tetapi mereka tidak akan diberi hak milik tanah tersebut.
Berikutan itu penduduk tempatan perlu memanfaatkan pelbagai insentif disediakan kerajaan bagi mengusahakan tanaman komersil ini.
Petani yang mengusahakan tanaman itu secara berkelompok pula mampu meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan dan tidak menghadapi masalah memasarkan hasil tanaman kerana pasarannya terjamin.

“Jagung hibrid adalah spesies terbaik dan sesuai ditanam di negeri ini kerana ia tahan penyakit dan mendapat permintaan tinggi dengan harga RM1 setongkol,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menuai Projek Tanaman Jagung Berkelompok di Kampung Batu Hampar, Manir, baru-baru ini.
Penduduk kampung itu menanam jagung manis baka Thailand secara berkelompok di tanah kerajaan seluas kira-kira 14 hektar, lebih tiga bulan lalu.
Beliau menjelaskan amalan kerajaan sekarang ialah menggalakkan petani mengusahakan tanaman di tanah kerajaan, tetapi mereka tidak akan diberi hak milik bagi mengelakkan kejadian tanah terbiar.
No comments:
Post a Comment