Thursday, July 30, 2009

DYMM Tengku Muhammad Penaung MPNT

Kerajaan dan rakyat Terengganu semalam mempersembahkan ucapan tahniah dan kesyukuran di atas pemasyhuran ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail sebagai Penaung Majlis Pengakap Negeri Terengganu (MPNT).

Melalui iklan sembah takzim daripada Kerajaan Negeri dan Rakyat Negeri Terengganu Darul Iman melalui sebuah akhbar, ia melengkapkan lagi pemasyhuran yang berlangsung 19 Julai lalu.
Majlis pemasyhuran itu disempurnakan Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr Shafei Mohd Salleh, di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Turut hadir di majlis itu, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku, Tengku Sri Panglima Raja; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ahmad Said berkata bagi menghargai jasa setiap ahli, kerajaan negeri bersetuju menghadiahkan sebidang tanah bertujuan membina kem pengakap dan beberapa infrastruktur lain.



Datuk Seri Shafei menyerahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Penaung Majlis Pengakap Negeri Terengganu kepada Tengku Muhammad Ismail. -Foto SHUHAIMI AHMAD

“Lokasi tanah itu masih dalam perbincangan sama ada di Kuala Terengganu atau daerah lain,” katanya.


Menurutnya, dengan wujudnya kem itu nanti, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan semata-mata untuk kebaikan ahli sekaligus mampu mengelak gejala sosial seperti melepak dan merempit.

Sementara itu, Datuk Seri Shafei, berkata penerimaan pelantikan Tengku Muhammad Ismail sebagai penaung dianggap sebagai perhargaan paling berharga bagi MPNT.


Tengku Muhammad Ismail dan Dato' Ahmad bergambar bersama pemimpin pengakap pada Majlis Pemasyhuran Pelantikan Penaung Majlis Pengakap Negeri Terengganu di Istana Maziah.
“DYMM Tengku Muhammad akan dijadikan sebagai ikon di kalangan masyarakat, terutama pelajar turut menyertai pengakap dan ahli badan beruniform lain,” katanya.

Beliau berkata, sehingga ini kira-kira 120,000 ahli menggangotai pengakap di Terengganu dan kini aktif menyertai pelbagai aktiviti anjuran MPNT dan agensi lain.

No comments:

Post a Comment