Wednesday, July 29, 2009

Rombongan PIBG SMK Kepong ke Terengganu…

Catatan Suhana Shukor melalui teganuku@gmail.com

Pengalaman rombongan PIBG SMK Kepong, Selangor Darul Ehsan melawat negeri Terengganu Darul Iman pada 10 hingga 12 Julai 2009 lalu menjadi kenangan sukar dilupakan.

Ia menjadi antara peristiwa penting SMK Kepong bagi tahun 2009.

Seramai 80 orang, kebanyakan warga Guru - Pengetua, Puan Sabrina bt Sulaiman; Puan Hajjah Wan Zakiah bt Wan Omar (Penolong Kanan Sesi Pagi); Puan Lim Boon Ngee (Penolong Kanan HEM); Puan Hajjah Noreini bt. Mohd Yatim (Penolong Kanan Sesi Petang); YM Raja Baharudin b Raja Hussain (Penolong Kanan KOKU); Encik Lim Meng (Guru Disiplin) dan guru-guru sesi pagi dan petang.

Yang lain nya ialah bekas-Pegawai Seranta Sekolah, Sarjan Guru; AJK PIBG, Suhana Shukor, Encik Samsuri dan Encik Mariapan serta isteri dan beberapa orang kakitangan pentadbiran SMK Kepong. Kami menginap di Hotel Seri Hoover selama dua malam serta dua sarapan pagi melalui tajaan yang telah diusahakan oleh Biro Kebajikan dan Sosial, PIBG SMK Kepong.

Lawatan ke Masjid Kristal adalah antara tempat pertama dan dengan kira-kira 25 ahli rombongan bukan Islam tidak melepaskan peluang untuk meninjau keindahan Masjid berkenaan.

Kerana jadual yang padat, anggota rombongan sempat ‘menoleh sahaja’ ke arah replika masjid-masjid terkenal di Taman Tamadun Islam itu.

Destinasi seterus nya ialah ke Pulau Kapas. Perjalanan ke Pulau Kapas mengambil masa setengah jam dengan menaiki bot melalui Jeti Marang.

Kami sempat mengelilingi pulau dan menyaksikan pemandangan pantai putih yang terhampar indah.

Kami juga berkesempatan berhenti di Gua Buaya, yang dipenuhi dengan kelawar dan merakamkan beberapa gambar sebagai kenangan. Walaupun laut dalam, kami masih dapat melihat ikan sekecil nemo di dasar lautan. Terumbu karang yang masih berkeadaan baik menampakkan sifat bertanggungjawab di kalangan penduduk sekitar.

Aktiviti sukaneka anjuran Kelab Guru, memeriahkan lagi kunjungan kami di pulau ini.

Persinggahan di Pantai Batu Buruk adalah tempat untuk kami berehat selepas penat lelah bersukan, sambil menikmati minum petang. Deruan ombak memukul pantai kedengaran berselang seli dengan gelak ketawa tanda keriangan peserta rombongan.

Acara kemuncak lawatan ialah Jamuan Makan Malam di Restoran Paradise tajaan kerajaan negeri Terengganu.

Ucapan khas wakil dari pejabat Menteri Besar Terengganu, Encik Hambali Abd Latif menyuntik semangat kepada warga guru untuk mencontohi usaha dan cara pembelajaran yang dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Kecemerlangan pencapaian pendidikan di Terengganu, banyak yang kami pelajari.

Walaupun kami rakyat Selangor, kami berbangga atas keperihatinan pemimpin, terutama kerajaan negeri Terengganu dalam usaha untuk MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN.

Acara pada malam itu juga membabitkan penyampaian hadiah kepada pemenang Sukaneka di Pulau Kapas. Acara persembahan dari guru-guru dan penglibatan dari semua hadirin memeriahkan lagi malam kemuncak lawatan kami ini.

Majlis bersurai jam 12.00 malam

Rombongan bertolak balik pada Ahad, 12hb Julai 2009, sekitar 9.00 pagi.

Kami sempat ke Pasar Payang untuk membeli ole-ole untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Kami juga berpeluang untuk melihat Lapangan Terbang Sultan Mahmud kerana menghantar 14 orang guru yang akan menghadiri kursus keesokkan hari nya.

Keropok Lekor di Marang adalah destinasi terakhir kami, bagi sesiapa yang tidak berkesempatan untuk membelinya.

Rombongan akhirnya selamat tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 12 malam.

Biarpun penat kami gembira dan ingatan kepada Terengganu akan kekal sampai bila-bila.

No comments:

Post a Comment