Saturday, July 25, 2009

‘Hadiah’ menyedihkan untuk seorang ibu

Sumber: Harian Metro
















Seorang ibu yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 hari ini, menerima ‘hadiah’ paling menyedihkan dan tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat apabila kehilangan seorang daripada enam anaknya yang ditemui lemas di Sungai Jeram, Manir, dekat Kuala Terengganu, semalam.

Lebih menyedihkan Noraini Nasir, 40, anak kelimanya, Muhammad Uzeir Norman, 11, bersungguh-sungguh mengingatkan kakaknya, Nor Ain, 17, yang meminta supaya bapa saudaranya membelikan kek hari jadi untuk ibu mereka.

Noraini yang bersedih dengan kejadian itu berkata, dia menerima pemergian anak paling rajin dalam keluarganya itu dengan reda dan menganggapnya sebagai takdir.

Mangsa, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong juga anak saudara Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang dikhuatiri lemas selepas tenggelam ketika mandi bersama dua abang dan seorang lagi rakan.
Selain keluarga mangsa, Abdul Rahin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Teluk Pasu turut berada di tempat kejadian dengan sesekali mengesat air mata kerana tidak dapat menahan kesedihan.
Nor Ain ketika ditemui pula berkata, arwah adiknya tidak menunjukkan sebarang tanda pelik kecuali mengambil tuala bapa mereka untuk dijadikan selimut ketika tidur di pondok depan rumah mereka semalam dan tidak menegur ibunya seperti kebiasaan.

“Namun, sebelum turun ke sungai, arwah sempat menjerit kepada bapa saudara supaya tidak lupa membelikan kek untuk ibu kerana esok (hari ini) hari jadi ibu kami,” katanya.

Difahamkan, mangsa mandi bersama dua abangnya, Ahmad Tajuddin, 14, dan Ahmad Nazim, 12, serta dua rakan, Mohd Hasbullah Othman, 14, dan Mohd Faizal Seman, 14, selepas menunggang kuda berhampiran rumahnya di Kampung Jeram, Manir kira-kira jam 12 tengah hari.

No comments:

Post a Comment