Friday, July 17, 2009

Jom memancing di Batu Burok...hadiah RM40,000

Sumber: Berita Harian

Berita Harian dan Bank Rakyat menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 kepada kaki pancing yang berjaya menaikkan ikan terberat pada Karnival Memancing Bank Rakyat Joran 2009, bermula hari ini.

Karnival anjuran bersama Berita Harian dan Bank Rakyat serta mendapat sokongan dan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diadakan selama dua hari mulai hari ini di Batu Burok.

Pemancing boleh memburu pelbagai spesies termasuk todak, pari dan ikan bawal pinang.
Selain juara yang menaikkan ikan terberat dan berhak mendapat ganjaran lumayan itu, pemancing yang mendapat tempat kedua dan ketiga juga masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 dan RM5,000 selain pelbagai hadiah iringan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim, berkata karnival memancing yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000 itu dan diadakan di pantai Batu Burok esok, akan memberi peluang kepada warga bandar raya ini terutamanya untuk mencuba nasib untuk merangkul hadiah lumayan ditawarkan.

"Kita mendapat maklumat daripada pemancing, antara ikan bakal diperoleh ialah bawal pinang yang mudah diperoleh di pantai ini," katanya.

Mat Razali berkata, selain pertandingan memancing, karnival itu dimeriahkan dengan persembahan dikir barat, persembahan pentas oleh artis terkenal tanah air dan pelbagai pameran oleh Bank Rakyat.

Katanya, karnival yang berkonsepkan bersantai bersama keluarga itu dijangka mampu menarik pengunjung apabila diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu.

"Pantai Batu Burok sesuai dijadikan lokasi berehat kerana pelbagai kemudahan asas sudah disediakan terutamanya surau, tandas awam dan taman permainan kanak-kanak," katanya.

No comments:

Post a Comment