Sumber: Berita Harian
Syarikat pengeluar injap untuk industri minyak dan gas, San Precision Engineering Co Ltd (San Precision) yang berpangkalan di Coventry, United Kingdom (UK) akan memindahkan operasi kilangnya ke kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman menjelang hujung tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pemindahan kilang ke tapak lebih luas di kawasan perindustrian itu adalah hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara San Precision dengan TATi Production Sdn Bhd (TATi Production), iaitu cabang perniagaan Kolej Universiti TATi (TATiUC), sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
Katanya, menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai dalam bidang pembuatan dan pengedaran injap itu, operasi pengeluaran injap rekaan San Precision yang ketika ini dilaksanakan menerusi TATi Production akan dikembangkan untuk merangkumi pelbagai produk lain yang berkaitan industri minyak dan gas.
"Tahun ini, TATi Production akan mengeksport 10,000 unit injap bernilai RM1.75 juta ke Kanada dan apabila kilang San Precision beroperasi sepenuhnya nanti, operasi pengeluaran akan ditingkatkan hingga mencecah nilai jualan lebih RM6 juta setahun," katanya selepas mesyuarat Exco di sini, kelmarin.
MoU antara TATi Production dan San Precision itu adalah antara tiga memorandum persefahaman yang dimeterai ketika rombongan Menteri Besar melawat Britain pada 5 hingga 12 Julai lalu.
Ahmad Said berkata, pasaran untuk produk injap dan beberapa produk lain yang berkaitan tersedia berikutan pembukaan banyak kilang berasaskan minyak dan gas terutama di kawasan Pantai Timur.
"Kita tahu banyak kilang petroleum baru dibangunkan sejak kebelakangan ini dan selepas lima tahun, kilang berkenaan perlu diselenggara, justeru pasaran untuk injap ini sangat besar bukan saja dalam negara tetapi juga di peringkat global," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui TATiUC juga memeterai dua MoU masing-masing dengan Queens University of Ireland (QUB) dan Northampton University di UK.
Melalui MoU dengan QUB, kerajaan negeri akan menaja dua program pendidikan peringkat tinggi iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bagi pelajar lepasan TATiUC untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.
"Antara bidang yang dipersetujui ialah Kejuruteraan Kimia dan Petroleum, Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekanikal. Bagaimanapun, untuk permulaan bidang Kejuruteraan Kimia dan Petroleum akan diberikan keutamaan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap industri minyak dan gas yang sedang berkembang di Terengganu.
"QUB juga bersetuju untuk menyediakan kursus jangka pendek dalam bidang pengurusan dan bahasa bagi pegawai negeri Terengganu yang berminat," katanya.
Ahmad Said berkata, selain itu, melalui MoU bersama Northampton University, TATiUC akan bekerjasama untuk menawarkan program diploma dalam bidang 'Non Destructive Testing' (NDT) di peringkat Sarjana Muda dan program berkenaan adalah yang pertama seumpamanya ditawarkan di Malaysia.
Katanya, buat masa ini, TATiUC melalui anak syarikatnya, Ruane TATi Sdn Bhd menawarkan kursus jangka pendek profesional di bidang NDT.
No comments:
Post a Comment