Tuesday, July 14, 2009

Kerja amal di Kampung Mangkuk

Oleh Shaarani Ismail (Berita Harian)

PERMAISURI: Jika sebelum ini aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan pasukan pengakap lebih tertumpu kepada khidmat masyarakat di kawasan luar bandar atau golongan memerlukan, sekumpulan sembilan Pengakap Kelana iaitu lapan dari Singapura dan seorang dari Malaysia pula memilih Kampung Mangkuk yang terletak di kawasan 'Setiu Wetland' untuk melaksanakan misi kemasyarakatan memupuk kesedaran mencintai alam sekitar.

Berkampung hampir dua minggu bermula 20 Jun sehingga 4 Julai lalu, mereka memilih Kampung Mangkuk kerana ia cukup kaya dengan khazanah alam semula jadi terutama khazanah hutan paya bakau serta lokasinya yang menarik.

Pengerusi Pengakap Kelana Wilayah Persekutuan, Arvind Danopalan, 20, berkata pemilihan Kampung Mangkuk sebagai lokasi untuk mereka melaksanakan kerja komuniti adalah sebagai satu daripada syarat yang perlu sebelum boleh dinobatkan penerima anugerah terulung Pengakap Dunia iaitu 'Scouts of the World Award'.

"Saya adalah peserta tunggal dari Malaysia yang terbabit dalam aktiviti ini dan antara faktor mengapa Kampung Mangkuk dipilih adalah kerana lokasinya yang kaya dengan khazanah semula jadi, keadaan masyarakat setempat yang bersesuaian untuk kami melaksanakan kerja kemasyarakatan serta lokasinya yang sangat menarik.


"Dalam masa sama, ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan Malaysia dan Terengganu khususnya kepada rakan pengakap yang lain," katanya.

Arvind berkata, program yang dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada khidmat sukarela yang perlu dipenuhi bagi memastikan semua bahagian yang ditetapkan untuk mendapatkan anugerah ulung itu dan pasukannya cukup berkeyakinan usaha dan kerja yang dilaksanakan sepanjang berada di Kampung Mangkuk membolehkan mereka menerima anugerah berkenaan.

Bagi Oliver Lim, 20, dari Rover Scouts, Singapura, pengalaman berada di Kampung Mangkuk selama dua minggu adalah pengalaman sangat berharga kerana dalam tempoh itu banyak pengalaman baru ditimba selain berpeluang melakukan pelbagai kerja amal dan sukarela.

"Di sini kami melakukan pelbagai kerja termasuk membaiki rumah penduduk kampung yang rosak, mengadakan kelas tambahan khusus untuk anak penduduk kampung terutama bagi memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, menanam dan menyemai anak bakau sebagai sebahagian daripada usaha mengatasi masalah hakisan yang semakin membimbangkan serta menyertai program memulihara penyu yang dilaksanakan bersama WWF (Tabung Hidupan Liar Dunia).

"Semua aktiviti sangat menyeronokkan dan saya berharap usaha yang dijalankan ini akan membantu kami mendapatkan anugerah 'Scouts of the World'," katanya.

Sementara itu, Pegawai Komuniti WWF Setiu, River Foo, berkata program yang dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada usaha dan inisiatif kumpulan pengakap berkenaan untuk memastikan setiap kerja yang dilakukan berbaloi dan mampu menarik perhatian pihak berkenaan untuk dinilai dan diberikan pengiktirafan.

Katanya, WWF membantu dalam menyediakan bahan dan bantuan yang diperlukan terutama dalam membantu usaha memberi kesedaran kepentingan memulihara khazanah alam semula jadi yang terdapat di kawasan mereka supaya dapat terus dikekalkan.

"Usaha yang paling mendapat perhatian adalah kerjasama dan semangat yang ditunjukkan kumpulan pengakap berkenaan untuk menanam lebih 1,000 anak bakau di kawasan muara berhampiran bagi membantu warga kampung mengatasi masalah hakisan yang semakin membimbangkan.

No comments:

Post a Comment