Sumber: Berita Harian
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata kerajaan negeri sememangnya sudah maklum dengan keadaan di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) .
Berikutan itu, kerajaan negeri perlu membuat tindakan susulan dengan mengarahkan kontraktor membuat pembaikan kerana stadium (SSZMA) dan kompleks akuatik ini adalah milik kerajaan negeri dan tiada kena mengena dengan Kerajaan Pusat.
Bagaimanapun, Yahya Khatib berkata, kerajaan negeri menyambut baik lawatan Shaziman yang mewakili kerajaan pusat dan berharap kedua-dua pihak dapat terus bekerjasama untuk pelbagai projek lain di negeri ini.
Shaziman melihat kerosakkan pada bumbung Kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ketika melawat kompleks itu di Batu Buruk, Kuala Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD (UKOM)
"Kita sudah menerima laporan dan membuat tindakan susulan dengan mengarahkan kontraktor membuat pembaikan kerana stadium (SSZMA) dan kompleks akuatik ini adalah milik kerajaan negeri dan tiada kena mengena dengan Kerajaan Pusat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas lawatan Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, ke pusat itu baru-baru ini dan mengarahkan penutupan sementara bagi memberi laluan pasukan penyiasat daripada JKR Pusat membuat penilaian.
Sementara itu, tinjauan Berita Harian terhadap orang ramai di bandar ini yang mahu memanfaatkan cuti hujung minggu bersama keluarga, kecewa kerana kompleks yang baru berusia setahun itu terpaksa ditutup baru-baru ini.
Sehubungan itu, pengunjung ke kompleks itu yang tidak mengetahui arahan penutupan itu, mahu kerajaan merumus penyelesaian jangka panjang bagi memastikan semua bangunan awam di negeri ini selamat terutama selepas sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) runtuh pada 2 Jun lalu.
Kakitangan swasta, Mohd Noor Faiz, 18, berkata walaupun terpaksa pulang dengan hampa, mereka lega kerana penutupan itu dapat mengelak orang ramai daripada berhadapan dengan bencana yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa, terutama apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati ia tidak selamat digunakan.
"Kami kecewa kerana nampaknya masih banyak bangunan milik kerajaan negeri yang baru dibina beberapa tahun lalu perlu diperiksa dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku," katanya.
Kerani akaun, Che Rosnita Abdul Wahab, 19, berkata penutupan pusat akuatik itu walaupun sementara adalah sesuatu yang dikesali kerana ia antara lokasi tumpuan di bandar raya ini untuk orang ramai beriadah bersama keluarga kerana memang tidak ada tempat lain seumpamanya di negeri ini.
Peniaga, Norhayati Hassan Mahmud, 50, pula berkata, penutupan pusat akuatik itu walaupun hanya sementara adalah satu kerugian kepada rakyat kerana ia dibina untuk rakyat dan seharusnya pembinaannya dilaksanakan dengan teliti bagi mengelak pembaziran.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim, berkata MBKT sebagai pengurus pusat itu akur dengan arahan JKR Pusat untuk menutup sementara bagi memberi laluan kepada pasukan penyiasat membuat pemantauan dan penilaian.
"Setakat ini masih belum ada tempoh muktamad sehingga bila ia akan ditutup. MBKT tidak terbabit dalam penyelenggaraan pusat berkenaan kerana ia masih di bawah tanggungjawab kontraktor utama dan JKR," katanya ketika dihubungi.
Katanya, lebih baik pusat itu ditutup sementara bagi membolehkan sebarang kelemahan dan kekurangan dapat diperbaiki terlebih dulu bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.
No comments:
Post a Comment