Dalam satu e-mail, PAK HITAM,Kuala Berang,Terengganu kepada Harian Metro, beliau bimbang Pekan Budaya 9-15 Ogos akan menjejaskan pendapatan penjaja.
Menurut beliau, Majlis Daerah Hulu Terengganu akan mengadakan Pekan Budaya Daerah Hulu Terengganu di pekan Kuala Berang pada 9 hingga 15 Ogos ini.
Ini akan menarik orang luar datang menyertai pesta ini di samping memperkenalkan lagi pekan Kuala Berang.
Apa yang menjadi masalahnya ialah Pekan Budaya ini akan diadakan di tapak Pasar Tani, Pasar Malam dan Pasar Sari.
Semua peniaga dan penjaja ini tidak dibenarkan berniaga bermula dari 2 Ogos hingga 17 Ogos ini.
Ke mana semua peniaga ini hendak pergi? Mereka bergantung kepada Pasar Tani, Pasar Malam dan Sari untuk sumber rezeki. Dua minggu adalah tempoh yang amat lama dan kalau dicampur, semuanya ada 10 kali jualan.
Semua ada tanggungjawab masing-masing, hendak bayar yuran sekolah, hutang Tekun, hutang bank, sewa rumah dan banyak lagi.
Tidakkah pihak bertanggungjawab memikirkan kepentingan penduduk tempatan? Ini tidak pernah berlaku di pekan Kuala Berang. Kami cuma mencari sumber rezeki halal. Kami bukannya bergaji bulan, cukup bulan dapat gaji.
Sepatutnya pihak bertanggungjawab terlebih dulu berbincang dengan peniaga atau penjaja. Kalau mahu teruskan juga, cari tempat sesuai untuk kami berniaga, bukannya mengabaikan kami.
Kami rakyat tempatan, bayar cukai, bayar lesen dan ada hak untuk bersuara.
Justeru, kami berharap pihak berkuasa lebih bertanggungjawab. Jangan sekali-kali mengabaikan kami peniaga kecil.
No comments:
Post a Comment