Saturday, July 11, 2009

Pusat Akuatik MBKT : Satu lagi ‘rahsia’ akan terbongkar

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah(citra_bangsa@yahoo.com)

Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor cukup terkilan dengan keadaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menghadapi banyak masalah termasuk air meresap dari kolam ke lantai tingkat bawah kompleks itu.

Malah, bumbung pusat itu juga bocor dan peralatan besi juga susah berkarat walaupun ia baru setahun siap dibina.

Berikutan itu, Shaziman mengarahkan Pusat Akuatik tersebut ditutup serta-merta mulai Khamis, 9 Julai 2009 dan kerja membaik pulih diserahkan kepada kontraktor yang berkenaan.

Pusat Akuatik ini telah menelan belanja RM18 juta siap diguna pakai setahun lalu dan pernah dijadikan venue untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu.

Ketika lawatan Shaziman, tidak kedengaran sesiapa yang pernah bertanggungjawab dalam pembinaan ini, termasuk bekas Exco Kerajaan Negeri dan bekas Menteri Besar yang bertanggungjawab ketika membuat perlantikan kontraktor mengiringi Menteri Kerjaraya ini membuat lawatan ke Pusat Akuatik ini.

Berbeza dengan kedatangan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Kuala Terengganu, ada dua orang dari anggota Geng 10 menyambut kedatangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu itu, kerana mengharapkan Hishammuddin akan melantik mereka menjadi pegawai-pegawai di Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Dalam isu runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dan kini Pusat Akuatik, tidak langsung kedengaran bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Exco-Exco dalam eranya melawat kawasan itu, walaupun bukan tujuan menyiasat sekurang-kurangnya boleh bergambar dengan berlatar belakangkan runtuhan sebagai kenang-kenangan.

Khabarnya ramai betul peminat yang datang untuk merakamkan gambar dengan latar belakang runtuhan bumbung stadium tetapi tidak pula kedengaran berita apakah Idris, Datuk Rosol Wahid, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Datuk Din Adam sudah pergi ke tempat itu untuk tujuan merakamkan gambar.

Kalau anggota Geng 10 ada masa, tidak sibuk bermesyuarat, adalah lebih baik jika mereka turut mengadakan kunjungan ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ini kerana jika keruntuhan ini sudah diperbaiki, rugilah mereka kerana tidak dapat merakamkan kenang-kenangan kepada tragedi yang cukup memalukan ini.

Seorang penulis yang kini merupakan blogger, menyalahkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang tidak berundur dari kerusi Menteri Besar Terengganu yang menyebabkan runtuhan demi runtuhan terjadi di Terengganu.

Blogger yang pernah bekerja dengan bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Din Adam ini seolah-olah mendapat ‘wahyu’ yang dia tahu benda-benda ghaib dan mendahului sesuatu sebelum ia terjadi.

Penulis ini tidak pula menulis bahawa jika Din Adam pergi bergambar dengan latar belakang runtuhan bumbung, kemungkinan rahsia yang tersembunyi hingga mengakibatkan runtuhan ini berlaku akan terdedah.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar sudah mengeluarkan kenyataan sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari sebab mengapa runtuhan ini berlaku.

Bekas Exco, Wan Hisham juga turut mengesahkan dia juga sedia untuk memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tetapi setakat ini tidak pula kedengaran suara dari Rosol dan Din yang sedia disiasat SPRM.

Dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, ada sumber dipetik sebagai berkata, tiga bekas Exco ini akan dipanggil untuk siasatan tetapi tidak diketahui sejauh mana perkembangan ini sudah berlaku.

Mungkin Geng 10 tidak mahu mencampuri isu ini tetapi adalah lebih jika Geng 10 turut mendesak SPRM supaya menyegerakan siasatan terhadap isu runtuhan ini bagi mengetahui siapakah yang boleh dihadapkan ke muka pengadilan.

Selagi isu ini tdak selesai, selagi itulah Geng 10 dipandang serong oleh penyokong-penyokong mereka kerana ketika Geng 10 menuding jari menyalahkan kepimpinan Datuk Ahmad Said di Terengganu, rakyat sekarang sedang menuding jari kea rah Geng 10 yang ketika mereka berkuasa, mereka juga tidak melakukan ketelusan dan kejujuran.

Menteri Kerjaya menyifatkan runtuhan bumbung stadium ini amat memalukan negara dari pandangan dunia luar tetapi apakah Geng 10 tidak terasa malu dengan apa yang berlaku?

Kalau Geng 10 tidak tahu malu, kini Pusat Akuatik MBKT pula bermasalah, adakah Geng 10 merasakan apa yang berlaku ini disebabkan ‘bala’ kepada mereka yang tidak menyokong Idris Jusoh menjadi pemimpin bertaraf dunia.

No comments:

Post a Comment