Sunday, August 9, 2009

16.2 juta untuk 32 taska baru di Terengganu

Kerajaan negeri akan membina sebanyak 32 buah taman asuhan kanak-kanak (taska) dengan kos sebanyak RM16.2 juta, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata, projek pembinaan taska itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat mulai akhir tahun ini.

Menurutnya, peruntukan pembiayaan ditanggung oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah pakej memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara bagi tahun 2009.

''Di bawah pakej rangsangan ekonomi ini, ia memberi peruntukan untuk membina bangunan, membeli peralatan serta menyediakan latihan kepada kakitangan Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

''Apabila siap sepenuhnya akhir tahun depan, YPKT bakal mempunyai 83 buah taska seumpamanya di negeri ini di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya pada perasmian Seminar Perkembangan Awal Kanak-Kanak di sebuah hotel di Kuala Terengganu semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Ashaari Idris.

Turut hadir Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustapa dan lebih 200 peserta.
Dalam seminar itu, tiga pembentang membentangkan kertas kerja masing-masing dalam seminar sehari itu.

Mereka terdiri daripada Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor yang membentangkan kertas kerja bertajuk Kepentingan Bermain Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Ketua Pegawai Eksekutif Children's Discovery House, Datin Nonadiah Abdullah yang bertajuk Keperluan Taska Dalam Membantu Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak.

Seorang lagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mahani Razali yang bertajuk Penglibatan Ibu Bapa Yang Berkualiti Dalam Pendidikan Kanak-Kanak.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, selain JPM, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina lapan buah Taska baru di setiap kawasan parlimen.

Katanya, pembinaan bangunan tersebut sedang giat dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada akhir tahun ini.

''Selain pembiayaan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, Golden Pharos Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyumbang sebuah Taska bagi setiap Parlimen," katanya.

No comments:

Post a Comment