Peniaga di Jalan Bandar, di Kuala Terengganu meminta Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) menimbang untuk melanjutkan notis arahan pengosongan premis yang dikeluarkan pada 13 Julai lalu bagi membolehkan mereka mencari tapak perniagaan baru.
Peniaga di 35 rumah kedai di situ mendakwa tindakan LTAWNT mengeluarkan notis arahan pengosongan premis berkenaan dalam tempoh 30 hari daripada 13 Julai lalu adalah tidak wajar, kerana masa terlalu suntuk untuk mereka mencari kedai baru dan memindahkan barangan perniagaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Toh Chin Yau, berkata kerajaan negeri sedang berunding dengan LTAWNT untuk melanjutkan tempoh pengosongan bangunan itu sehingga selepas Aidilfitri.
Katanya, kerajaan sedar masalah dihadapi peniaga dan akan berusaha supaya tempoh pengosongan bangunan dilanjutkan sementara.
Pengurus Pengedar Buku Alam Akademik, Asmahan Ahmad, 45, berkata peniaga di situ tidak menentang kemajuan, tetapi meminta LTAWNT memberi tempoh yang mencukupi untuk mereka berpindah, apatah lagi kerajaan negeri juga tidak menyediakan lokasi baru untuk mereka memindahkan perniagaan.
"Sepatutnya pihak terbabit memberi kami tempoh yang mencukupi dan sediakan bangunan gantian terlebih dulu, bukan bertindak melulu merobohkan bangunan yang masih kukuh ini.
"Kerajaan negeri sering melaungkan slogan merakyatkan pembangunan dan memelihara sejarah, tetapi kini mereka mahu merobohkan bangunan bersejarah ini," katanya.
Peniaga alat penyaman udara, How Kok Kong, 65, yang berniaga di kawasan itu sejak 40 tahun lalu berkata, dia menangis apabila diberitahu pihak terbabit mahu merobohkan bangunan itu kerana ia mempunyai nilai sejarah tinggi.
"Kita sedih kerana terpaksa berpindah. Peniaga di sini boleh diibaratkan lambang konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila semua kaum berniaga dalam keadaan harmoni seperti satu keluarga," katanya.
Peniaga emas, Najah Yasin, 44, yang mula menyewa di premis berkenaan sejak dua tahun lalu berkata, dia kesal dengan tindakan pihak terbabit memberi notis mengarahkan pindah dalam tempoh singkat.
No comments:
Post a Comment