Saturday, August 22, 2009

2 faktor jejas sasaran tarik 4 juta pelancong

Kerajaan Terengganu menjangkakan gagal mencapai sasaran kedatangan empat juta pelancong ke negeri ini pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, perkara itu ekoran kesan daripada masalah ekonomi dunia yang masih belum pulih sepenuhnya dan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum dapat menentukan sejauh mana kesan kedua-dua faktor tersebut.

''Kita masih mengumpul data kedatangan pelancong ke negeri ini. Namun, kita tidak boleh menafikan kedua-dua faktor tersebut akan mempengaruhi jumlah kedatangan pelancong ke destinasi pelancongan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sepetang bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri di semalam.

Beliau diminta mengulas sejauh mana kesan penularan H1N1 ke atas industri pelancongan negeri ini.

Tambahnya, industri pelancongan negeri kini perlu memberi fokus kepada pelancong-pelancong domestik dalam membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, agensi-agensi pelancongan perlu memfokus kepada para pelancong tempatan kerana kesan ekonomi dunia dan penularan influenza H1N1 tidak mempengaruhi industri pelancongan domestik.

''Kita akan lebih giat menarik kedatangan pelancong tempatan datang mengunjungi destinasi-destinasi pelancongan yang ditawarkan oleh Terengganu," katanya.

Justeru, katanya, agensi-agensi dan barisan hadapan industri pelancongan mesti menyediakan perkhidmatan dan produk terbaik dalam menarik kedatangan para pelancongan berkenaan.

No comments:

Post a Comment