Sumber Utusan Malaysia
Bak kata pepatah orang tua-tua dahulu 'ikan di laut, asam di darat akhirnya bertemu juga di dalam periuk'.
Ternyata antara ikan dengan asam iaitu asam gelugur sejenis perencah masakan tradisonal yang paling digemari oleh suri rumah sejak dari dulu lagi sememangnya tidak dapat 'dipisahkan.'
Sungguhpun begitu, asam gelugur yang sangat diperlukan untuk pelbagai jenis masakan seperti ikan singgang dan gulai kini dikatakan sukar diperoleh di kampung-kampung.
Ini kerana kekurangan orang ramai untuk mengusahakannya disebabkan pendapatan dari hasil buah itu tidak begitu lumayan.
Dalam hal ini, seorang warga emas, Fatimah Mat Hassan, 65, yang lebih dikenali 'Mak Timah Asam Gelugur' dari Kampung Masin, Pasir Akar di sini gigih memanfaatkan buah gelugur yang senang diperoleh di hutan kampungnya.
Buah gelugur yang gugur dari pokoknya selepas ia masak sudah tentu akan terbiar begitu sahaja jika tidak diambil untuk dibuat asam gelugur.
Fatimah berkata, walaupun pendapatan tidak lumayan, tetapi pekerjaan yang dilakukan secara sampingan amat menggembirakan.
Menurutnya, permintaan kaum suri rumah terhadap asam gelugur begitu menggalakkan mungkin disebabkan kepingan asam itu semakin berkurangan sekarang.
Beliau berkata, biarpun perisa makanan tradisi itu sukar diperoleh, tetapi ia tetap menjadi pilihan kaum ibu kerana asam tersebut lebih menyelerakan dalam masakan tertentu jika dibandingkan dengan perisa lain.
''Buah-buah gelugur yang masak itu dipotong secara kecil-kecilan atau dihiris secara kepingan untuk dibuat asam gelugur.
''Sebelum dijemur, kepingan gelugur itu dicelup dengan air garam supaya ia tahan lama dan biasanya asam gelugur ini dijemur antara dua atau tiga hari," katanya yang mempunyai tujuh orang anak.
Warga emas itu menambah, buah gelugur itu seperti juga buah durian, rambutan dan duku yang diperoleh mengikut musim.
''Buah ini tidak ada sepanjang masa menyebabkan orang lain tidak berminat untuk mengusahakan asam gelugur selain ia sukar didapati di kampung kecuali di hutan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment