Thursday, August 13, 2009

Terengganu terima dividen RM16.3 juta

Kerajaan negeri menerima dividen sebanyak RM16.3 juta hasil daripada pegangan saham ke atas anak syarikat Terengganu, TDM Berhad bagi tahun 2008.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata dividen tersebut diterima selepas TDM Berhad yang terlibat dalam sektor perladangan dan penjagaan kesihatan mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 10.5 sen per saham baru-baru ini.

Katanya, pembayaran dividen tersebut merupakan yang tertinggi selepas dividen pada 2007 adalah berasaskan 5.5 sen per saham.

''Saya gembira dengan perkembangan yang dicapai oleh TDM Berhad dalam menguruskan perniagaan mereka.

''Pencapaian ini diperoleh hasil daripada pengurusan yang baik selain mengurangkan kos perbelanjaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ahmad yang mewakili kerajaan negeri menerima cek bernilai RM16.3 juta daripada Pengerusi TDM, Datuk Roslan Awang Chik.

Beliau berkata, TDM Berhad yang menjalani usaha pemulihan sejak 2004 berjaya mencatatkan perolehan dan keuntungan tinggi.

Katanya, hasil daripada usaha itu juga menyaksikan TDM mula membuat pembayaran dividen kepada pemegang sahamnya pada 2006.

''TDM Berhad turut membuat pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM2.7 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) tahun ini," katanya.

Beliau memberitahu, TDM Berhad merancang akan memperluaskan perniagaan dalam sektor penjagaan kesihatan pada masa depan.

No comments:

Post a Comment