Wednesday, August 5, 2009

‘TTI River Cruise' tarikan baru ke TTI

Oleh Nurul Mardiana Abdul Alim (Berita Harian)

Sejak Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di Kuala Terengganu, dibuka kepada pengunjung bermula Februari tahun lalu, lebih 2.3 juta pelawat mengunjunginya.
Ini termasuk 400,000 pelancong asing yang melawat Taman Monumen, menempatkan lebih 20 replika seni bina Islam terulung di dunia.

Jika dilihat kepada perangkaan pelancong yang mengunjungi TTI, ia boleh dianggap satu pencapaian membanggakan. Namun, itu bukan alasan untuk pihak pengurusan TTI berpuas hati atau goyang kaki, sebaliknya pelbagai inisiatif dan tarikan baru ditawarkan di TTI dalam usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara.

Selain bersandarkan kepada keunikan Masjid Kristal dan Taman Monumen yang tersohor, terbaru pihak pengurusan TTI memperkenalkan beberapa tarikan yang diyakini dapat menggamit lebih ramai pengunjung ke taman berciri Islam pertama seumpamanya di negara ini.

Kunjungan ke TTI pasti lebih menarik dan meriah apabila pelancong berpeluang merasai pengalaman menyusuri Sungai Terengganu dan menikmati keindahan serta kedamaian alam semula jadi menerusi daya tarikan baru yang dikenali sebagai 'TTI River Cruise'.

Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Abdul Rahman, berkata perkhidmatan menyusur sungai yang diperkenalkan TTI diharap dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba dan merasai sendiri pengalaman menyusuri sungai menaiki perahu tradisional yang menjadi kebanggaan rakyat negeri itu.
Beliau berkata, selain menjanjikan pengalaman indah, pakej perahu menyusur sungai itu juga secara tidak langsung boleh mendedahkan pelancong dengan budaya dan cara hidup penduduk di negeri ini khususnya kehidupan golongan nelayan yang menjadi identiti atau simbol kebanggaan masyarakat setempat.

"Melalui pakej ini, pengunjung boleh mengenali dengan lebih dekat lagi cara hidup penduduk di negeri ini terutama kehidupan nelayan serta mengetahui cara pembuatan makanan tradisi negeri yang popular seperti nasi dagang dan keropok lekor yang kita ketengahkan.

"Keunikan TTI 'river cruise' adalah kerana kedua-dua perahu yang membawa pelancong menyusur sungai selama lebih setengah jam adalah bot tradisional yang digunakan oleh nelayan di negeri ini untuk menangkap ikan di laut dan sungai," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment