Tuesday, August 4, 2009

ECER SEZ Dijangka Wujudkan 220,000 Pekerjaan

Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) – dari Kerteh, Terengganu ke Pekan, Pahang dijangka mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan baharu.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menekan butang bagi merasmikan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Projek Agropolitan Pekan sambil disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat (kiri); Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (dua dari kiri) dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said (dua dari kanan) di Kampung Runchang, Pekan, Pahang hari ini. SEZ dijangka mampu menarik pelaburan asing dan domestik ke wilayah itu sebanyak RM90 bilion menjelang 2020
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hari ini, ECER SEZ akan menarik RM90 bilion pelaburan langsung domestik dan antarabangsa menjelang 2020.

ECER SEZ ialah zon ekonomi khas pertama di Malaysia yang bersepadu, dengan insentif istimewa untuk menarik masuk pelaburan dan memberi lebih tarikan kepada aktiviti ekonomi di kawasan tertentu.

"Projek-projek di luar kawasan SEZ akan terus berjalan. Oleh sebab kawasan ini (ECER) sangat luas, ia memerlukan satu kawasan tumpuan," kata Najib kepada pemberita selepas melancarkan ECER SEZ serta projek Agropolitan ECER di Runchang, di sini.

Najib berkata empat zon bebas akan diwujudkan di ECER SEZ bagi menggalakkan serta menumpukan rantaian antara kelompok industri yang akan memberikan impak yang signifikan terhadap ekonomi ECER - kelompok Pembuatan Bernilai Tinggi, Industri Asas Tani; Gas dan Petrokimia; Pelancongan/ Hartanah; Ilmu/Pendidikan dan ICT serta Logistik.

"Bagi tempoh 2007 hingga sekarang, sejumlah RM24 bilion nilai pelaburan asing dan tempatan dijangka diperoleh daripada pelabur swasta dalam memajukan projek-projek di ECER dalam kelompok pelancongan, pembuatan, petrokimia dan pertanian," kata Najib.

Menurut beliau walaupun berkeluasan fizikal hanya enam peratus daripada keluasan keseluruhan ECER, zon ini mempunyai impak ekonomi yang amat besar, termasuk keupayaan menyumbang kepada 50 peratus daripada peluang pekerjaan berbanding seluruh ECER serta menyumbang kepada 80 peratus daripada hasil keluaran ekonomi untuk keseluruhan ECER.

Najib turut berkata bahawa pembangunan ECER akan terus mandapat komitmen kerajaan hingga ke Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sehingga tahun 2020 melalui 189 projek bernilai RM112 bilion yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Sehubungan itu, Najib berkata Pelabuhan Kuantan juga akan dinaik taraf dan diperluas supaya berupaya mengendalikan lebih 30 juta metrik tan muatan kargo setahun menjelang tahun 2020 berbanding 16.8 juta metrik tan pada masa ini.

Ia bertujuan memastikan pelabuhan itu mampu memainkan peranannya sebagai pelabuhan utama di Pantai Timur dan sebagai pintu masuk perdagangan bagi pasaran Asia Pasifik.

Untuk merangsang pertumbuhan pesat ECER SEZ, Najib berkata kerajaan akan menyediakan beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal yang baharu supaya dapat menarik pelaburan dan membolehkannya terus berdaya saing.

"Kalau ada permohonan untuk insentif tambahan, kita akan pertimbangkan berdasarkan merit sesuatu kes itu," katanya.

Selain itu, Najib berkata projek Agropolitan ECER yang turut dilancar merupakan sebuah pembangunan bersepadu yang bermatlamat utama membasmi kemiskinan tegar pada akhir 2010, melalui penglibatan golongan miskin dalam sektor-sektor perladangan dan bukan perladangan.

"Saya tertarik dengan Agropolitan ini kerana selain menanam kelapa sawit, mereka juga boleh menternak kambing biri-biri. Jika bekerja separuh hari, dalam sebulan boleh dapat RM500, dan jika bekerja sepenuh hari boleh mencapai RM1,000 sebulan. Ini boleh membawa mereka keluar daripada garis kemiskinan," katanya.

Perdana Menteri berkata mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang baik juga akan diberikan kerja sementara yang sudah tua atau uzur, akan diberi skim kebajikan.

Katanya, 50 peserta pertama telah dipilih untuk menjalankan aktiviti projek Agropolitan ini, yang mampu menampung sehingga 1,500 peserta.

No comments:

Post a Comment