Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah citra_bangsa@yahoo.com
Sebenarnya saya sudah mendengar kisah ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang tidak puashati dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak sebulan yang lalu.
Walaupun, saya percaya cerita itu tetapi sengaja saya tidak mahu menulis mengenainya kerana dalam jiwa saya tetap yakin bahawa tiada ahli Umno yang bergelar YB akan sanggup mengkhianati parti Umno, sebuah parti yang terlalu banyak berjasa kepada orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Malangnya, perasaan saya tergugat sekali lagi apabila saya terbaca sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ahad, 2 Ogos 2009 yang menyebut ada pertemuan antara beberapa orang pemimpin dari Terengganu dengan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi membincangkan kemungkinan tersebut.
Mungkin inilah politik seperti kata Presiden MCA ketika memberi komentar ekoran melompatnya bekas Naib Presiden, Datuk Chua Jui Menag dari MCA ke PKR baru-baru ini.
Maknanya, dalam politik, kalau ada penyokong yang tidak tahu berterima kasih di atas bantuan dan pertolongan yang diberikan pemimpin kepada mereka, ia sebenarnya sesuatu yang biasa dan tidak perlu dikesalkan.
Mereka yang bertaraf pemimpin pun, apabila mereka nampak sudah tidak ada kepentingan di depan mereka, mereka pun tidak tahu berterima kasih lagi kepada parti dan bersiap-sedia meninggalkan perjuangan parti yang sudah banyak mereka telan jasa dan budinya.
Di Terengganu, ada Geng 10 yang sudah memulakan sesuatu. Geng 10 ini adalah mereka yang berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan Menteri Besar. Namun, ketika mereka nampak ada kesukaran untuk menggugat kepimpinan Menteri Besar, mereka berusaha pula untuk menggugat (sebenarnya menggugut) Umno.
Geng 10 ini, dinaikkan oleh Umno. Mereka hidup senang lenang kerana mereka berada di dalam Umno. Mereka ini ada yang terpelajar dan ada juga yang tidak lulus PMR. Malahan, ada juga yang terkenal kerana ada skandal dengan ‘betina’. Kalau setahun, tidak sah kalau tidak ke Jakarta berulang-ulang kali.
Rekod ini ada di simpan oleh Imigresen. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein boleh semak rekod ini jika beliau mahu. Jadi, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Hishammuddin jangan mudah terpengaruh dengan cerita rekaan dan tokok tambah Geng 10 ini, jika Umno di Terengganu mahu dikembalikan kekuatannya.
Apa tugas Geng 10 ini sebenarnya? Adakah tugas mereka untuk merosakkan Umno? Adakah tugas mereka hanya mahu memboikot Persidangan DUN Terengganu? Adakah tugas mereka, datang ke Kuala Lumpur, mengumpat Menteri Besar dan menceritakan keburukan Menteri Besar?
Sudah banyak kali saya menulis mengenai isu ini tetapi kali ini, saya sekali lagi mahu mencadangkan supaya Geng 10 bertindak lebih berani, meletakkan jawatan atau mengosongkan kerusi untuk diadakan semula pilihan raya. Biarlah kerajaan negeri tumbang kerana angkara mereka, daripada menjadi musuh dalam selimut kepada BN.
.
Bukanlah tujuan saya mahu mendahului sesiapa, tetapi angkara dan keburukan perangai Geng 10 sudah tidak boleh dibendung. Mereka bukan sahaja terlajak perbuatan (kerana terlajak perahu boleh diundur), malahan, mereka sendiri nampaknya sedang berusaha membocorkan kapal yang sedang mereka tumpangi.
Mereka (Geng 10) boleh lemas kerana mereka mungkin sudah terlalu lama ‘hidup mewah’ dalam kapal yang serba mewah. Maka, selepas mereka rasakan mereka sudah tidak dapat lagi untuk terus bermewah-mewah dalam kapal yang serba mewah ini, maka mereka mahu karamkan kapal yang mereka tumpangi selama ini.
Mereka tidak mahu orang lain, orang yang sama-sama berjuang memperkuatkan Umno dan orang yang lebih lama dari mereka berbakti kepada Umno, menikmati apa yang mereka nikmati sekarang.
Mereka bekerja keras untuk merosakan Umno. Mereka memberi alasan kononnya semua ini mereka lakukan kerana mereka tidak boleh menerima kepimpinan Menteri Besar.
Malahan, secara halusnya, mereka menolak Istana Terengganu yang memperkenankan perlantikan Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar.
Tidak hairanlah, ada dakwaan mengatakan mereka mengupah beberapa blogger supaya menulis dengan tujuan menghasut orang-orang di Besut supaya mendesak pemimpin di Besut supaya ‘membawa Besut keluar dari Terengganu’.
Bunyinya seperti main-main tetapi sebenarnya ini adalah penderhakaan. Mereka tidak lagu menghormati Institusi Kesultanan di Terengganu dan mereka tidak lagi mengikhtiraf Sultan Terengganu adalah Sultan bagi Negeri Terengganu.
Orang seperti ini, layaknya duduk dalam jel. Namun mereka masih mampu berselindung di sebalik sehelai lalang. Mereka memikirkan, perasaan mereka lebih penting dari kedaulatan negeri. Mereka fakir, mereka sudah mampu untuk mentadbir sebuah negeri sendiri dengan mempunyai Sultan dan Menteri Besar sendiri. Maknanya, Sultan Besut dan Menteri Besar Besut.
MasyaAllah! Minta dijauhkan Tuhan dari terjadi perkara seperti ini. Begitu taksub mereka ini hingga mereka menjadi manusia yang begitu dungu dan bebal. Mereka menjadi alat kepada kumpulan penderhaka yang menanti diri mereka didakwa dan dihukum.
Orang-orang di Besut sudah mempunyai seorang wakil rakyatnya yang pernah menjadi Menteri Besar. Orang-orang di Besut tentunya masih ingat dalam zaman orang Besut menjadi Menteri Besar, terbangun sebuah stadium yang agak besar dan dinamakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan baru-baru ini runtuh bumbungnya.
Bekas Menteri Besar dari Besut ini bersedia untuk menjemput pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya kalau-kalau ada yang tidak kena dengan pemberian projek itu dan kesilapan dalam melantik kontraktor.
Namun, belum kedengaran kesediaan SPRM Terengganu mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Besar ini mungkin kerana SPRM sedang mengumpul bukti-bukti terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Besar yang orang Besut anggap sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia.
No comments:
Post a Comment