Tuesday, August 4, 2009

Lupus al-Quran dengan cara betul

Umat Islam dinasihat melupuskan al-Quran dan bahan berkaitan berdasarkan peraturan yang ditetapkan bagi memelihara kesucian kitab tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat berkata, al-Quran yang sudah usang tidak boleh dibuang sewenang-wenangnya bagi mengelak daripada diseleweng.

Justeru beliau menggalakkan orang ramai supaya menghantar naskhah-naskhah al-Quran tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dilupuskan dengan cara yang betul.

"Al-Quran atau bahan bacaan yang mengandungi ayat suci kitab ini perlu dibakar secara menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.

"Abu yang mengandungi ayat-ayat suci itu pula perlu dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah dan kemudian dihanyutkan ke sungai atau laut, kita (umat Islam) tak boleh pandang remeh perkara ini memandang ia merupakan kitab suci umat Islam.

"Justeru itu, bagi memastikan proses pelupusan dilakukan dengan cara betul, masyarakat Islam diminta menghantar kitab lama itu kepada KDN kerana mereka mempunyai kemudahan untuk proses pelupusan tersebut secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Etika Penjualan Teks dan Al-Quran dan Bahan-Bahan Berunsurkan Islam anjuran bersama KDN dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di Batu Buruk Beach Resort di Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Negeri Terengganu, Khairil Zuhdi Khairuddin.

No comments:

Post a Comment