Apa isu sebenar di Felda Belara menyebabkan penduduknya mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak Pengurus Felda Belara yang disifatkan sebagai 'Little Napoleon' ditukarkan?
Apakah hanya kerana faktor tidak dapat bekerjasama dengan peneroka serta membelakangkan ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penduduk bertindak demikian?
Pengerusi JKKK Felda Belara, Yassin Mat Hasan, berkata memorandum bantahan sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Faizoull Ahmad.
"Kami mahu pengurusan Felda menukar Pengurus Felda Belara, Zakaria Mat Hassan ke tempat lain kerana dia tidak dapat bekerjasama dan mewujudkan hubungan baik antara pengurusan dengan warga Felda di sini," katanya ketika ditemui kelmarin.
Seorang peneroka yang juga Pengerusi Masjid Felda Belara, Abdul Rashid Embong, 72, berkata tindakan Zakaria yang membelakangkan setiap keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat bersama penduduk, menyebabkan peneroka asal dan generasi kedua berasa dipinggirkan.
Katanya, Zakaria sering membuat keputusan pembangunan atau pelaksanaan projek di tanah rancangan itu sesuka hati dan tidak pernah merujuk JKKK, dan ini menyebabkan penduduk kawasan itu terutama generasi kedua berasa peranan mereka untuk menyumbang dinafikan.
Memberi contoh, Abdul Rashid berkata, baru-baru ini pengurusan Felda itu meluluskan projek pembinaan kolam ikan tetapi dilaksanakan dengan menceroboh tanah penduduk tanpa meminta persetujuan atau kebenaran mereka terlebih dulu.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Hasan Hadi, yang turut hadir bertemu warga Felda Belara, berkata perkara yang dibangkitkan peneroka dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi apabila seorang pengurus baru akan dihantar ke kawasan itu.
"Pengurusan Tertinggi Felda sudah berjanji untuk menyelesaikan masalah ini dan berharap ia dapat menamatkan segala kemelut yang berlaku dan menjernihkan semula keadaan. Cuma apa yang saya harapkan supaya semua warga peneroka Felda Belara dapat memberikan kerjasama terhadap pengurus baru yang dilantik nanti," katanya.
Katanya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Ahmad Tarmizi Alias yang mengambil berat mengenai masalah itu dan mahu menyelesaikannya dengan segera.
Bagaimanapun Zakaria ketika dihubungi semalam enggan mengulas perkara itu.
No comments:
Post a Comment