Monday, August 10, 2009

Jubli Emas DUN Terengganu

Oleh Roslan Abdul Rahman (UKOM)

Bermula 27 Julai lalu hingga Disember depan, Terengganu mengadakan majlis sambutan Jubli Emas Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, sempena 50 tahun kewujudan dewan itu.

Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, pelbagai acara dan program telah diatur bagi menyambut ulang tahun DUN itu.

Beliau berkata, sambutan bermula dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan surah yasin, tahlil dan solat isyak bertempat di DUN, Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu.

Tujuan sambutan antara lain bagi memberi kesedaran kepada semua pihak terutama Ahli-ahli Yang Berhormat tentang pentingnya kewujudan DUN dan mempertahankannya sebagai satu institusi yang mulia yang menjadi tempat perbahasan dan percambahan ilmu serta idea, semata-mata untuk kepentingan rakyat.

DUN Terengganu kali pertama bersidang ialah pada 27 Julai 1959, sebab itu dicadangkan tarikh untuk diadakan sambutan bermula Julai hingga Disember 2009.

Antara acara menarik ialah pidato rakyat jubli emas dan persidangan mini Dewan Undangan Negeri yang dijayakan oleh pelajar sekolah, wacana ilmu jubli emas dan kuiz 'Ingat Sokmo Ganu Kita'.

Acara kemuncak ialah majlis makan malam yang akan disertai Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong pada Disember.

Rakyat kebanyakan mengenali DUN adalah melalui wakil rakyat kawasan masing-masing yang dipanggil Ahli Yang Berhormat, hakikatnya ‘Yang Berkhidmat’ untuk rakyat.

Tidak kira sama ada wakil rakyat DUN itu dari kalangan yang ada jawatan dalam Kerajaan sama ada Menteri Besar atau Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atau wakil rakyat biasa penyokong kerajaan atau pun pembangkang, semuanya mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Kalau melihat secara rasmi fungsi DUN dan ahlinya memanglah besar, membabitkan soal perundangan disebut sebagai enakmen yang dibawa kepada Dewan Undangan Negeri serta mencadangkan pindaan bersesuaian sebagaimana yang difikirkan perlu, meluluskan belanjawan dan memeriksa akaun awam/kerajaan.

Yang penting juga memberi khidmat kepada Kerajaan Eksekutif dan menjadi arena tumpuan bagi memeriksa dan mengkritik dasar-dasar dan pelaksanaan rancangan-rancangan kerajaan seterusnya mewakili rakyat melalui sidang Dewan Undangan Negeri dan forum yang disediakan untuk wakil-wakil rakyat menyuarakan pendapat, membangkitkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam, atau berbincang secara terbuka di DUN terhadap isu-isu yang menjadi tumpuan rungutan atau masalah rakyat.

Biasanya, wakil rakyat pembangkang selalu menjadikan kedudukannya sebagai pembangkang sebagai penghalang untuk menjadi wakil rakyat yang berkesan untuk menolong dan menjaga kebajikan rakyat di kawasan yang mereka wakili. Mereka memberi alasan mereka tidak mempunyai kuasa apa-apa.

Akhirnya mereka menyuruh rakyat yang datang kepada mereka supaya pergi jumpa pihak lain dan mereka hanya berpeluk tubuh dan menunggu elauan dan menjalankan tugas-tugas untuk parti mereka, ceramah dan sebagainya tanpa mengambil cakna hal ehwal rakyat yang diwakilinya.

Bila tiba masanya DUN bersidang mereka hanya bangun bercakap mengecam kerajaan dan parti pemerintah dengan berbagai tuduhan dan andaian, tanpa memberi suatu cadangan yang baik dan lengkap; berguna untuk pihak eksekutif yang menerajui kerajaan.

Ini suatu pendekatan dan amalan yang salah. Mereka sebenarnya mempunyai peluang yang begitu banyak dan meluas untuk ‘berkhidmat’ kepada rakyat. Mereka boleh secara positif menjalankan hubungan yang baik dengan pihak kerajaan.

Di bawah pimpinan Dato’ Ahmad Said selaku Menteri Besar, kita melihat beliau lebih bersifat terbuka. Kunjungan beberapa pimpinan Pas dan wakil rakyat pembangkang di Terengganu kepada beliau di Pejabat Menteri Besar bagi berbincang dan berdialog secara telus untuk membincangkan soal rakyat dan negeri pernah berlaku dengan positif. Tiada halangan walaupun berbeza parti politik.

Sempena 50 tahun sambutan DUN Terengganu diharapkan semua Ahli Yang Berhormat dapat menjalankan tugas masing-masing dengan berkesan untuk rakyat.

Ini selaras dengan saranan Dato’ Ahmad agar rakyat diberi keutamaan dalam apa jua perkara. Di peringkat kerajaan beliau memperkenalkan pendekatan dan konsep merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.

Mudah sahaja, tidak kira kerajaan, penyokong kerajaan atau pembangkang atau apa pun sifat dan sikap ahli dewan, semuanya perlu memberi khidmat sebaik-baiknya kepada rakyat, sebab rakyatlah yang memilih mereka menjadi ‘wakil rakyat’.

Bagi wakil rakyat penyokong kerajaan mereka sudah lama memainkan peranan mereka sebagai wakil rakyat yang benar-benar menolong rakyat, di samping kewajipan mereka membantu kerajaan yang didokongnya.

Akhirnya diucapkan selamat menyambut Jubli Emas DUN Terengganu kepada kesemua 32 ADUN dan Yang DiPertua DUN serta pegawai dan kakitangan pejabat DUN. Tidak lupa juga kepada petugas di pejabat ADUN di kawasan masing-masing!

No comments:

Post a Comment