Monday, August 10, 2009

Premis kedai - Kerajaan Terengganu tidak berganjak

Sebanyak 34 premis rumah kedai di Jalan Bandar dan Jalan Banggol di Kuala Terengganu tetap akan dikosongkan walaupun terdapat segelintir peniaga yang membantah tindakan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tindakan tersebut perlu bagi memenuhi tuntutan pembangunan semula yang telah dirancang sebelum ini dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan.

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Toh Chin Yau, berkata kerajaan negeri sedang berunding dengan LTAWNT untuk melanjutkan tempoh pengosongan bangunan itu sehingga selepas Aidilfitri.

Katanya, kerajaan sedar masalah dihadapi peniaga dan akan berusaha supaya tempoh pengosongan bangunan dilanjutkan sementara.

Ahmad Said berkata pembangunan semula itu penting agar pemandangan bangunan usang dan uzur tidak lagi kelihatan di bandar raya Kuala Terengganu.

"Tidak dapat tidak, arahan pengosongan itu perlu dipatuhi oleh peniaga tersebut. Jika mereka gagal berbuat demikian, mereka akan menanggung kerugian apabila ia dirobohkan kelak.
"Tidak timbul soal kerajaan tidak realistik tentang pemberitahuan notis pengosongan yang didakwa peniaga lambat diberitahu.

Masa yang diberikan kepada mereka telah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Dana Bakti Remaja Parlimen Kemaman 2009 di Kampung Bukit Kuang di Kemaman semalam.

Beliau mengulas tentang laporan akhbar mengenai rungutan 34 peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang terpaksa mengosongkan premis rumah kedai tersebut untuk memberi laluan kepada pembangunan semula.

Peniaga di Jalan Bandar, di Kuala Terengganu mendakwa mereka dizalimi kerana notis pemberitahuan yang diberikan lambat dimaklumkan selain kerajaan tidak menyediakan lokasi baru untuk menjalankan perniagaan.

Mereka meminta Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) menimbang untuk melanjutkan notis arahan pengosongan premis yang dikeluarkan pada 13 Julai lalu bagi membolehkan mereka mencari tapak perniagaan baru.

Peniaga di 35 rumah kedai di situ mendakwa tindakan LTAWNT mengeluarkan notis arahan pengosongan premis berkenaan dalam tempoh 30 hari daripada 13 Julai lalu adalah tidak wajar, kerana masa terlalu suntuk untuk mereka mencari kedai baru dan memindahkan barangan perniagaan.

No comments:

Post a Comment