Sumber: Berita Harian
Penduduk di Kampung Pantai Kuala Ibai di Kuala Terengganu kini boleh tersenyum gembira kerana penantian mereka untuk berpindah ke rumah baru yang lebih selamat dan selesa berakhir, selepas menjadi mangsa hakisan pantai dan air laut melimpah setiap kali musim tengkujuh sejak empat tahun lalu.
Seramai 96 penduduk yang rumah mereka rosak dipukul ombak ketika musim tengkujuh menerima seunit rumah berharga hampir RM40,000, manakala kemudahan elektrik dan air dibekalkan secara percuma oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pemberian rumah berkenaan bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap masalah yang dihadapi penduduk, malah mereka turut diberi subsidi RM10,000 daripada nilai rumah serta hanya perlu membayar sewa beli rumah serendah RM120 sebulan.
Beliau berkata, rumah tiga bilik berkenaan adalah antara usaha kerajaan negeri menyediakan penempatan yang selesa untuk rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan dan layak menerima bantuan seperti mereka yang terbabit dalam bencana alam.
"Alhamdulillah, akhirnya kita dapat mengagihkan kunci rumah ini kepada mangsa ombak besar di Kampung Pantai Kuala Ibai ini. Pelbagai masalah yang kita lalui dalam proses menyiapkan penempatan ini dapat kita atasi akhirnya.
"Kita sedar banyak masalah yang berlaku di penempatan ini. Tanah di Kampung Tok Adis ini pada asalnya kita telah agihkan kepada orang lain, tetapi mereka tak buat rumah, kemudian kita ambil balik dan buat lot rumah. Sebab itu proses pembinaannya makan masa agak lama.
"Apabila siap pula, sebelum diagihkan ada juga masalah lain timbul. Ada rumah dipecah masuk pencuri yang mencuri wayar, kipas dan lampu. Tetapi kerajaan negeri baik hati, mana yang dicuri itu kita ganti sebelum kita serahkan kunci pada penduduk.
"Kebiasaannya kita beri rumah yang kosong dan penduduk perlu selesaikan sendiri urusan mendapatkan bekalan elektrik dan air, tetapi kita sedar ramai di kalangan penduduk di sini adalah golongan nelayan, jadi kerajaan negeri bersedia menampung kos ini untuk meringankan beban mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah kepada 96 penduduk Kampung Pantai Kuala Ibai dalam satu majlis di kelmarin. Hadir sama bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Che Mat Jusoh.
Ahmad berkata, walaupun isu penempatan penduduk Kampung Pantai Kuala Ibai itu menjadi mainan politik pembangkang yang memburukkan kerajaan, dengan keprihatinan dibuktikan kerajaan negeri terhadap keperluan penduduk kampung berkenaan, beliau berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan kata nista dilemparkan pembangkang.
No comments:
Post a Comment