Tuesday, August 11, 2009

UDM aktif dedah ilmu astronomi Pantai Timur

Ketua Unit Falak Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Darul Iman (UDM) Roslan Umar berkata, Balai Cerap antara yang aktif menawarkan perkhidmatan ilmu astronomi kepada orang ramai di Pantai Timur.

Katanya, menerusi teras utamanya 3P, atau penyelidikan, pendidikan dan pendedahan Balai Cerap UDM menawarkan perkhidmatan profesional dalam usaha mendekatkan orang ramai dengan ilmu astronomi.

Melalui penyelidikan, pihaknya menjalankan program pencerapan anak bulan, gerhana matahari dan sebagainya sambil memaklumkan aktiviti terbaru pencerapan anak bulan Ramadan dijangka pada 20 Ogos depan.

“Dari segi pendidikan, Unit Falak menawarkan subjek tertentu bagi manfaat pelajar terutama dalam kursus Falak Syarie, Kosmologi Perbandingan dan Asas-asas Takwim yang menjalankan aplikasi dalam ilmu astronomi.

“Dari segi pendedahan, kita membuka peluang kepada institusi pendidikan untuk mengadakan lawatan selain memberi taklimat dan khidmat nasihat berhubung program disediakan seperti cerapan langit malam,” katanya kelamrin.

Tidak hanya bergantung pada fungsi Balai Cerap, pihaknya turut menawarkan modul tertentu kepada orang ramai di luar kawasan berikutan penyebaran ilmu astronomi penting untuk kemajuan ekonomi tempatan.
Keinginan orang luar mengetahui bidang astronomi amat menggalakkan dan permintaan terus diterima, bagaimanapun pihaknya menerima dua permohonan daripada luar untuk melaksanakan program di Balai Cerap setiap bulan.

Roslan berkata, pihaknya menetapkan modul tertentu dengan mendedahkan teknologi astronomi seperti teleskop yang turut berguna untuk amatur dan teodolit berfungsi menentukan arah kiblat.

Mengulas lanjut, pihaknya turut merancang aktiviti kepada pelajar UDM, memberi khidmat nasihat berhubung ilmu falak di samping memberi cadangan dan idea kepada kelab astronomi.

“Inilah yang menjadikan kita aktif dan menjadi perintis di Pantai Timur biarpun ada juga universiti di sini yang turut mempunyai Balai Cerap,” katanya.

No comments:

Post a Comment