Golongan petani di negeri ini disaran mencontohi petani Korea yang bijak menggunakan tanah dalam memajukan sektor pertanian di negara itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, para petani perlu memanfaatkan tanah mereka yang sedia ada walaupun keluasannya terhad.
Bukan itu sahaja, katanya, petani juga perlu berusaha memajukan tanah tersebut dengan tidak hanya menunggu bantuan kerajaan.
"Ketika saya melawat Korea baru-baru ini, saya lihat petani mereka lebih kaya daripada yang bekerja di jabatan kerajaan.
"Ini kerana mereka menggunakan tanah dengan sebaik-baiknya walaupun ruang untuk bercucuk tanam hanya sekangkang kera sahaja namun dapat memperoleh pendapatan lumayan.
"Justeru, saya amat berharap mereka yang mempunyai tanah sendiri dapat menggunakan tanah mereka dengan aktiviti pertanian dan kerajaan bersedia membantu pada bila-bila masa sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) ke-35 di Wisma Peladang di Kuala Terengganu semalam.
Pada majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara PPNT dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi mengusahakan penternakan kambing boer.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mariam Mas Yaacob dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNT, Datuk Wan Zakaria Abd. Rahman.
Ahmad berkata, bagi memastikan tiada lambakan hasil pertanian, petani kecil-kecilan harus melihat permintaan pasaran semasa.
''Apabila kita bercucuk tanam kita perlu juga melihat keperluan pasaran, jangan apabila musim menanam kacang panjang, semua tanam benda yang sama sebab itu harga jadi murah.
''Seharusnya petani bijak melihat permintaan pasaran agar mereka tidak perlu bersaing dengan petani lain sehingga terpaksa menanggung kerugian akibat banyak hasil rosak,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment