Kelab Marina Terengganu mempunyai pendekatan tersendiri bagi membantu Kerajaan Negeri mempromosikan sektor pelancongan, khususnya di Tasik Kenyir apabila berhasrat menganjurkan pertandingan jet ski di tasik buatan manusia terbesar Asia Tenggara itu.
Timbalan Presiden, Tengku Omar Saifulddin Tengku Sulaiman berkata, pihaknya bercadang mengadakan pertandingan itu pada Mac 2010 jika tiada sebarang masalah dan usaha dilakukan secara jangka panjang.
“Kita berhasrat mengadakan pertandingan jet ski di Tasik Kenyir ini kerana lokasinya bersesuaian.
“Malah, melalui cara ini secara tidak langsung kita dapat membantu Lembaga Kemajuan Terengganu Te-ngah dan Kerajaan Negeri mempromosikan Tasik Kenyir,” katanya.
Menurutnya, oleh kerana Tasik Kenyir begitu diberi penekanan bagi sektor pelancongan dan mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi, beliau pasti usaha yang akan dilaksanakan itu mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Beliau berkata demikian, ketika mengadakan program lawatan ke beberapa lokasi menarik di Tasik Kenyir kelmarin menggunakan jet ski, dan disertai kira-kira 50 peserta termasuk Kelab Jet ski dari Kota Bharu, Kelantan.
Tengku Saifulddin berkata, program itu julung kali diadakan melibatkan jet ski dan ia bukan sahaja bertujuan merancakkan sektor pelancongan di Tasik Kenyir, tetapi juga memperkemaskan semula aktiviti kelab itu yang sekian lama kurang aktif.
“Kelab ini ditubuhkan sekitar tahun 1980 tetapi kurang aktif. Sekarang, kita ingin memberi nafas baru agar ia lebih aktif, apatah lagi dengan keahliannya kira-kira 40 orang, banyak aktiviti boleh dilakukan.
“Program hari ini (kelmarin), mampu memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan silaturahim,” katanya.
Antara lokasi yang dikunjungi menggunakan jet ski adalah Gua Bewah, Perang Island Resort dan Air Terjun Lasir.
No comments:
Post a Comment