Monday, August 24, 2009

Pelajar jangan jadi sampah masyarakat

Golongan pelajar perlu berazam menjadi insan yang membawa kebaikan dan bukannya golongan yang digelar 'sampah masyarakat' serta sering mencetuskan masalah kepada masyarakat dan keluarga.

Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Besut, Nawi Mohamad berkata, pelajar sepatutnya menghabiskan masa dengan belajar kerana pelajaran merupakan aset berguna pada masa depan selain mampu menghindari mereka daripada perkara-perkara negatif.

Menurutnya, sebagai golongan yang telah mendapat pendidikan, sewajarnya mereka memiliki nilai-nilai terpuji dan disukai ramai serta boleh membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.

Selain itu, katanya, tiada gunanya mereka mempunyai kebolehan yang tinggi dan cemerlang dalam pelajaran jika berterusan melakukan perkara buruk yang menjejaskan imej diri serta keluarga.

''Golongan pelajar perlu menjadi aset yang berguna kepada masyarakat kerana merekalah bakal pemimpin yang akan membentuk masa depan negara dan bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menutup Program Motivasi dan Kecemerlangan Diri Pelajar Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong di Bukit Keluang Beach Resort, Besut.

Seramai 45 pelajar sekolah itu mengikuti program tiga hari yang bertujuan mendedahkan teknik belajar berkesan bagi meningkatkan potensi diri serta keyakinan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) nanti.

Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut berkata, kejayaan dalam pelajaran bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana seseorang itu mampu mengawal diri mereka.

Katanya, setiap pelajar perlu mengenal pasti kebolehan dan potensi diri masing-masing dan berusaha supaya masa yang dihabiskan mampu membuahkan hasil.

"Jangan terikut-ikut dengan perkara negatif yang dilakukan oleh rakan-rakan sebaliknya cubalah buat perbezaan supaya kejayaan yang akan kita cipta nanti lebih baik daripada orang lain," katanya.

Beliau menambah, pelajar yang berada di tingkatkan 6 sebenarnya hanya selangkah lagi untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) dan usaha hendaklah dibuat berterusan bagi mencapai kejayaan itu.

No comments:

Post a Comment