Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu berlangsung lagi esok dan lusa.
Antara perkara yang menjadi tumpuan esok ialah usul wang pembangunan tambahan untuk pembangunan negeri dijangka berjumlah RM280.814 juta.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said juga dijangka mengemukakan beberapa enakmen berkaitan perbekalan tambahan 2009 dan tanah simpanan bagi orang Melayu 2009.
Persidangan dijangka bermula 9.30 pagi dengan soalan-soalan.
Sejauh ini tidak kedengaran kemungkinan akan berlaku ‘kejutan’ seperti sidang DUN 13-15 Mei lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mengarahkan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang tidak menghadiri persidangan DUN pada hari kedua kembali menunaikan tanggungjawab itu seperti biasa.
10 ADUN BN Terengganu itu enggan menghadiri hari kedua persidangan DUN pada 14 Mei itu kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam.
Tindakan kesemua ADUN BN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN bagi DUN Permaisuri, Paka dan Ajil malam semalam berhubung kemelut politik di negeri ini.
Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri persidangan Dewan itu ialah ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd. Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd. Pehimi Yusof (Kota Putera).
Ketiadaan mereka pada sesi soal jawab pagi hari kedua itu menyebabkan sidang didominasi semua lapan ADUN dari Pas. Hanya tiga wakil rakyat BN yang kelihatan menghadiri persidangan Dewan pagi tersebut.
Reaksi kepada tindakan 10 ADUN itu Perdana Menteri menegaskan, khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan mengancam nyawa mereka yang dikatakan menjadi punca kemelut itu sebenarnya bukan dihantar dari pejabat Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
“Mereka (mendakwa) dapat SMS, tapi SMS itu tidak berpunca dari pejabat Menteri Besar. Tidak ada kesahihan tentang SMS yang dihantar, jadi saya minta supaya mereka semua hadir persidangan seperti biasa,” katanya.
Najib turut menolak dakwaan tindakan 10 ADUN itu bermotif untuk menjatuhkan Ahmad.
Sidang yang dijangka akan berlangsung separuh hari, bagaimanapun tidak akan ada sebarang jawapan kepada soalan daripada wakil BN kerana ADUN BN tidak mengemukakan sebarang soalan pada sidang kali ini.
Pada sidang DUN Mei lalu, wakil rakyat BN juga tidak mengemukakan sebarang soalan.
Sidang DUN Terengganu hanya berlangsung tiga kali setahun dan kali akhir dijangka November depan untuk pembentangan bajet 2010.
No comments:
Post a Comment