Monday, August 31, 2009

Pusat Jalur Lebar Jerteh latih komuniti setempat

Oleh Mohamad Ishak (Berita Harian)

Jurang digital antara penduduk desa dan bandar kini dapat dirapatkan dengan adanya usaha pelbagai pihak yang sedia melabur untuk memberi pendidikan dan pendedahan mengenai teknologi maklumat kepada semua lapisan rakyat di negeri ini.

Penubuhan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) adalah sebahagian usaha kerajaan dan swasta yang bergabung tenaga untuk memberi perkhidmatan kepenggunaan kepada masyarakat terutama dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

PJK Seberang Jertih yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Telekom Malaysia dan MSD Digital Intelligence adalah satu lagi contoh bagaimana sebuah pusat untuk memberi latihan dalam bidang ICT kepada komuniti setempat.

PJK berkenaan yang mula beroperasi pada April 2009 dan dikelolakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih, Terengganu, memberi peluang kepada komuniti setempat untuk lebih memahami bidang ICT dengan lebih mendalam.

Pusat itu kini mempunyai 257 ahli sejak beroperasi, mempunyai dua tenaga pengajar manakala beroperasi setiap hari antara jam 9 pagi hingga 6 petang, kecuali cuti umum, kata pengurusnya, Mazlan Ibrahim.

PJK Seberang Jertih diwujudkan bagi membantu komuniti mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran komputer termasuk melayari internet dan menggunakan telefon mudah alih dengan cara yang selamat dan positif.

Pusat itu juga menyediakan akses kepada perkhidmatan elektronik termasuk e-Perkhidmatan Kerajaan, e-Pembelajaran, e-Pengumpulan dan pertukaran maklumat, Pusat Komunikasi, Pusat Pembangunan aplikasi berdasarkan perkongsian perisian dan pusat peperiksaan dan persijilan.

"Bagi memberi peluang kepada komuniti mempelajari komputer, kami mensasarkan semua golongan termasuk kanak-kanak Tabika, pelajar sekolah rendah dan menengah, warga emas, suri rumah, remaja, belia, peniaga, petani, penganggur dan pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menjadi ahli.

"Ahli dikenakan bayaran RM5 sebagai pendaftaran seumur hidup dan mereka boleh menggunakan internet percuma selama tiga bulan," tambahnya.
Selain itu, ahli juga diberi latihan dan kelas percuma serta dapat mempelajari pelbagai aplikasi elektronik.

Mazlan berkata, pihaknya juga memberi peluang kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menghantar ahlinya untuk menggunakan kemudahan di pusat itu.

Bagi melicinkan lagi operasi PJK, pihaknya menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengawasi operasi serta menjalankan aktiviti berkaitan pusat berkenaan.

No comments:

Post a Comment