Saturday, August 1, 2009

Pendirian Umno mahukan penyatuan umat Islam: Najib

Sumber: Bernama

UMNO tetap berpendirian bahawa parti itu mahu kepada usaha yang boleh membawa kepada kebaikan kepada umat Islam di negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, sehubungan itu apa saja perbincangan dengan PAS ke arah penyatuan umat Islam diterima baik oleh parti itu.

Beliau berkata demikian selePAS mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT), di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, petang semalam.
Mengulas kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa 'salam' yang dihulurkan bukan bermaksud berbaik dengan PAS-Umno tetapi antara kerajaan Kelantan yang ditadbirnya dengan Kerajaan Pusat, Perdana Menteri menegaskan Umno tidak berada dalam keadaan tertekan sehingga beria-ia mahu berbincang dengan PAS untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Sebaliknya, kata Presiden Umno, parti itu hanya mengambil kira akan peri pentingnya pendekatan yang boleh membantu menyelesaikan masalah di kalangan umat Islam di negara ini sekaligus menyatupadukan ummah.

"Tidak, tidak... Umno tidak rasa macam tertekan, sehingga kita terpaksa melakukan usaha untuk mencari titik pertemuan seperti pembentukan kerajaan campuran dan sebagainya.

"Tapi yang kita pentingkan ialah pendekatan ke arah menyelesaikan masalah di kalangan umat Islam yang boleh mendatangkan kebaikan. Apa bentuk sama ada ini melibatkan perubahan struktur dan sebagainya, ini soal kedua," katanya kepada pemberita di sini.

Najib, yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diminta mengulas mengenai kenyataan sesetengah pemimpin PAS yang mendakwa Umno terdesak kerana terlalu beria-ia mahukan perbincangan mengenai perpaduan dengan parti pembangkang itu.

Mengulas lanjut isu itu, Perdana Menteri menegaskan prinsip Umno adalah sentiasa terbuka kepada usaha-usaha yang boleh mendatangkan kebaikan dan penyatuan umat Islam dan rakyat Malaysia amnya.

No comments:

Post a Comment