Sunday, August 16, 2009

Penjawat awam perlu peka dengan keperluan rakyat

Sumber: UKOM (Gambar oleh Zulkifli Putra)

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said meningatkan, penjawat awam peka dengan keperluan rakyat kerana tugas utama mereka sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan masalah atau keperluan rakyat.

Mereka perlu memahami realiti semasa, berani membuat perubahan dan proses anjakan perlu dilakukan secara kreatif, berterusan dan berfikiran secara terbuka.

Katanya, dalam konteks pentadbiran dan pembangunan negeri Terengganu, antara cabaran yang harus dirungkai antaranya termasuklah meningkatkan prestasi dan kemampuan negeri ke tahap yang lebih cemerlang, memperkukuhkan daya saing dan daya tahan serta lebih berinovatif.

“Untuk mencapai keberkesanan, kakitangan kerajaan perlu memahami, menghalusi, menjiwai, melaksana dan memantau (5M) segala program. Jika sesuatu dasar itu tidak efektif, jangan didiamkan sebaliknya perlu berani untuk duketengahkan supaya dapat dicari formula yang lebih baik,” katanya.

Berikutan itu juga penjawat awam perlu bersegera dalam memberi perkhidmatan dengan mengurangkan karenah birokrasi wajar diberi perhatian kerana rakyat mahukan urusan mereka dipermudahkan dan dilaksanakan tanpa tertangguh.

“Tonjolkan ketelusan dan keboleh percayaan melalui bekerja dengan penuh integriti, beramanah, beretika tinggi dan sentiasa profesional,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pelancaran Gerbang Khidmat Pesanan Ringkas Kerajaan ‘MySMS’ Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman baru-baru ini (10 Ogos 2009).

Menurut beliau, selaras dengan pendekatan ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang dilaksanakan sekarang, segala urusan pentadbiran mesti dipermudahkan, bersifat menolong rakyat serta berorieantasikan faedah kepada rakyat.

“Dalam era globalisasi kini, tugas yang dipikul oleh penjawat awam bukan lagi sekadar memenuhi waktu pejabat semata-mata, malah dalam situasi tertentu kadangkala penjawat awam perlu berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi mengutamakan kepentingan awam,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong; Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Dato’ Normah Mohd Yusof dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta lebih 1,000 penjawat awam dari pejabat-pejabat kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pada majlis itu Menteri Besar turut menyampaikan anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment